Hos Bernama TV kutuk Al Jazeera ‘Al-Jahiliyah’

Hos sebuah program bual bicara Bernama TV mengutuk saluran satelit global, Al Jazeera yang mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing dalam usaha menangani Covid-19 sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap laporan kontroversi itu.

Dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu untuk membincangkan kontroversi itu, hos terbabit berkata, Al Jazeera sepatutnya dinamakan semula sebagai Al-Jahiliyah, yang biasanya merujuk golongan Arab kafir.

“Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang. Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,” kata Herleena Pahlavy, seorang daripada 2 hos pada akhir program itu.

Beliau kemudiannya mengakhiri program itu dengan berkata: “Saya Leena Pahlavy, Al Jazeera, ‘you shut up’.”



Bernama, agensi berita negara terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

FMT sedang menghubungi Menterinya, Saifuddin Abdullah untuk mendapatkan komennya.

Sepanjang program Bernama TV itu, 2 hos terbabit menyerang Al Jazeera yang menyiarkan episod “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East pada Jumaat lalu.

Mereka turut mempersoalkan stesen itu yang bertindak menutup ruangan komen dalam YouTube program berkenaan kerana bimbang terhadap kritikan netizen Malaysia.



Dalam program selama 25 minit itu, Al Jazeera menuduh Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Susulan itu, polis menyiasat saluran berita berpangkalan di Qatar itu di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pula menuntut permohonan maaf daripada media itu kerana menyiarkan fakta tidak benar dan mengelirukan.

Jabatan Imigresen juga sedang mengesan lelaki Bangladesh yang ditemubual program itu.



FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker