‘Bereh boh…kelah mung…’

Share

“LOGHAT Ganu (Terengganu) doh sebati dalam kehidupan saya, malah lebih selesa berbahasa Melayu loghat Ganu dalam urusan seharian,” kata Angellyn Tan Pei Ching, ketika ditemui di Kedai Bunga Sayang miliknya di Dataran Austin, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Video TikTok Angellyn, 32, memaparkan dia bercakap loghat Ganu menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sehingga mendapat 52,000 tontonan dan 7,800 tanda suka selain menerima banyak pujian daripada warganet.

Angellyn berkata, dia menggunakan bahasa Melayu loghat Terengganu sejak berusia lima tahun ketika membantu bapanya berniaga barangan alat ganti kenderaan.

“Saya sudah bergaul dengan orang Melayu sejak kecil dan faktor itu menyebabkan saya fasih berbahasa Melayu.

“Zaman persekolahan dan matrikulasi pun banyak membantu saya menguasai Bahasa Melayu sehingga tidak kekok bertutur menggunakan bahasa itu dan memperolehi A1 bagi subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bukan sahaja boleh berbahasa Melayu loghat Ganu, malah saya menggemari makanan orang Terengganu termasuk budu dan tempoyak,” katanya.

Menurutnya, dia terkilan dengan sikap segelintir orang Melayu yang masih berasa malu dan kurang berkeyakinan untuk menggunakan loghat Terengganu ketika bertutur dalam urusan seharian.

Katanya, mereka sepatutnya bangga dengan loghat sendiri, biarpun mungkin ia agak kasar didengari, namun keunikan lenggok dan cara sebutan itu tiada pada loghat negeri lain.

“Walaupun berbangsa Cina, tetapi saya bangga boleh berbahasa loghat Ganu, orang sekeliling lebih tertarik dengan saya apabila saya bertutur menggunakan loghat Ganu berbanding bahasa baku.

“Saya mempunyai 15 pekerja dan semuanya Melayu iaitu penduduk setempat, sekali gus terdorong menggunakan loghat Ganu dalam urusan seharian.

“Antara perkataan loghat Ganu yang paling saya suka guna dalam urusan seharian ialah, celok molek, bereh boh dan kelah mung,” katanya.

Bercerita mengenai video TikTok dirakam itu, Angellyn berkata, ia dirakam sekadar hiburan di samping memperkenalkan keunikan loghat Terengganu kepada warganet.

Katanya, dia tidak menjangka video berdurasi 46 saat itu menjadi tular dan perhatian warganet termasuk ramai memuji kefasihannya bertutur loghat Ganu.

HM

Leave a Reply