Nazif perlu bayar kepada LHDN sementara menanti rayuan.

Mahkamah arah Nazif bayar RM37.6 juta kepada LHDN

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi penghakiman terus dalam kes saman cukai bernilai RM37.6 juta terhadap Datuk Mohd Nazifuddin.

Nazifuddin merupakan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

LHDN sebelum ini telah memohon penghakiman ringkas yang membolehkan mahkamah memilih untuk memutuskan keputusan kes tanpa mendengar keterangan saksi.



Ketika membacakan keputusan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan untuk Nazifuddin membayar LHDN sebanyak RM37.6 juta walaupun pada masa sedang menunggu rayuan.

Jelas Ahmad Zaidi, LHDN sebenarnya telah berjaya mengemukakan kes yang begitu terang dan jelas manakala Nazifuddin selaku defendan pula telah gagal membangkitkan kes dengan merit.

“Saya telah teliti hujah kedua-dua belah pihak malah saya juga telah mempertimbangkan semua aspek menggunakan undang-undang sedia ada.

“Saya berpendapat undang-undang cukup jelas dalam perlembagaan yang mana defenden perlu membayar selama menanti rayuan.



“Defendan tidak dilarang mencabar notis penilaian kemudian terhadap Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan, seperti yang diperuntukkan oleh prosedur undang-undang,” katanya ketika prosiding hari ini.

Sementara itu, peguambela mewakili Nazifuddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui media berkata, pihaknya akan membuat rayuan sejurus selepas bercakap dengan anak guamnya secepat mungkin.

Pada 2 Mac, Hakim Zaidi menolak permintaan Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kes sementara menunggu rayuan nilai tunggakan.

LHDN mengemukakan surat perintah saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai tahun lalu, dengan mendakwa beliau masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari tahun 2011 hingga tahun 2017. –MalaysiaGazette



Berikut pula penjelasan Dato Seri Najib Tun Razak.

Saya jelaskan tentang keputusan mahkamah hari ini bahawa anak saya Nazifuddin “diarahkan” bayar tuntutan cukai sebanyak RM37.6 juta bagi tahun 2011 hingga 2017 (8 tahun).

Sebenarnya, dia bukan diarahkan hakim untuk membayar cukai tetapi hakim memberi penghakiman terus (summary judgement) kepada LHDN untuk teruskan tuntutan mereka terhadap anak saya.

“Saman RM37.6j: Mahkamah benarkan permohonan penghakiman terus LHDN”
https://www.malaysiakini.com/news/533208



(Media-media lain yang tajuk beritanya ialah “diarahkan” sudah salah melapor)

LHDN adalah di bawah Kementerian Kewangan.

Pada masa tuntutan cukai ke atas saya dan keluarga saya dikenakan juga merupakan masa Tony Pua dan Guan Eng bermaharajalela dan banyak menyalah gunakan kuasa (saman saya jika berani) untuk mengenakan saya dan orang BN.

Di bawah undang-undang cukai Malaysia, seksyen 106 jelas menunjukkan bahawa LHDN ada kuasa untuk mengenakan sebarang cukai tambahan dan penalti ke atas mana-mana orang dan seksyen 106 (3) juga mengatakan bahawa mahkamah tiada kuasa untuk mengurangkan atau membatalkan tuntutan cukai LHDN biarpun tuntutan cukai itu disalah kira, tak adil atau tak patut.



Akta Cukai Pendapatan 1967:

“Section 106 (3): In any proceedings under this section the court shall not entertain any plea that the amount of tax sought to be recovered is excessive, incorrectly assessed, under appeal or incorrectly increased.”

Ini bermaksud, jika LHDN kenakan tuntutan serta penalti cukai RM37.6 juta, makhamah perlu arahkan defendan untuk bayar RM37.6 juta.

Jika LHDN tuntut cukai RM3.76 Trilion pun, mahkamah perlu arahkan dfendan bayar RM3.76 Trilion.



Bayar dulu. Lepas bayar, baru boleh membuat rayuan di panel rayuan LHDN untuk mendapat kembali bayaran yang tak patut.

Sebab itu, kerajaan PH dahulu boleh kenakan tuntutan dan penalti cukai sebanyak RM1.7 bilion ke atas saya untuk wang yang disebut RM2.6 bilion walaupun ianya jelas wang tersebut telah dikembalikan kepada penghantar 4 bulan selepas ianya diterima.

Dalam kes anak saya Nazifuddin pula, kerja dia ialah sebagai pakar pelaburan yang mengumpulkan dana dari pelabur-pelabur untuk melabur bersama.

Dia mulakan kerjayanya di UBS Wealth Management Hong Kong dan selepas dia pulang ke Malaysia, dia teruskan menjadi pakar pelaburan dalam pasaran saham Malaysia.

Di dalam tempoh 8 tahun yang LHDN tuduh dia hutang cukai, ada beberapa kali di mana pelabur-pelabur pihak ketiga memasukkan wang kepada akaun dia untuk dia melaburr. Ini pula dikira HASIL oleh LHDN.

Lalu, pelaburan-pelaburan pihak ketiga dipulangkan tetapi LHDN pula mengiranya sebagai PERBELANJAAN peribadi dia – bukan pemulangan.

Sebab itu, cukai dan penalti cukai dituntut LHDN dari dia untuk tempoh 8 tahun itu adalah sebanyak RM37.6 juta (RM4.7 juta setahun).

Bukti pemulangan serta fakta-fakta ini ada dalam kenyataan pembelaan dia dalam mahkamah.

Tetapi di bawah undang-undang yang saya sebut tadi, mahkamah tak ada kuasa untuk pertikaikan tuntutan cukai LHDN.

Ramai yang mungkin lupa dia adalah pakar pelaburan.

Tanpa pengetahuan saya pada tahun 2011, dia pernah diajak seorang ahli peniaga untuk membeli 4 juta saham dengan harga 8 sen sesaham (RM320,000) dalam syarikat tersenarai Harvest Court (kini ditukar nama menjadi Anzo Holdings.

Lalu ahli peniaga itu melantik dia sebagai pengarah.

Selepas pengumuman dia menjadi pengarah terkeluar, harga saham syarikat mencecah RM2.14 kira-kira jam empat petang tadi, atau lebih 2,575 peratus daripada 8 sen sebelum dia diumumkan pengarah kerana ramai fikir saya seperti PM4 dan syarikat di mana anak saya akan terlibat diberi banyak kontrak-kontrak kerajaan.

“14 Nov 2011: Anak Najib jadi pengarah, harga saham melonjak”
https://www.malaysiakini.com/news/181340

Melihat ini, saya suruh anak saya untuk letak jawatan kerana saya bimbang nama saya dan anak saya mungkin dipergunakan ahli-ahli perniagaan yang mengejar keuntungan cepat dalam pasaran saham.

Dan dia pun letak jawatan seminggu selepas dia dilantik pengarah.

“22 Nov 2011: Anak Najib berundur sebagai pengarah Harvest Court”
https://www.malaysiakini.com/news/182017

Untuk rekod, syarikat itu tak pernah diberi apa-apa kontrak kerajaan.

Bukan itu sahaja. Tiada seorang dari anak-anak saya pernah mendapat sebarang kontrak kerajaan sepanjang masa saya PM (walaupun ada seorang dua pernah minta saya dan marah pada saya apabila saya kata tidak boleh).

“I get no special attention or favours, says Mohd Nazifuddin”
https://themalaysianreserve.com/2017/03/31/i-get-no-special-attention-or-favours-says-mohd-nazifuddin/

Tapi apalah nasib kita jika kuasa di bawah undang-undang cukai negara disalahguna oleh Guan Eng dan gengnya untuk mengenakan kita supaya mereka boleh memainkan propaganda untuk menipu mereka yang kurang faham akta cukai?

Kebenaran akan dibuktikan akhirnya apabila dia menghadapi panel rayuan cukai hari nanti.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker