Batal pas media wartawan Al Jazeera dan halau keluar.

Batalkan pas media wartawan Al Jazeera sengaja cetus kebencian.

Saya sudah menonton dokumentari Al-Jazeera ini. Sebagai seorang wartawan, saya sendiri ketawa melihatkan kualiti kewartawanan Al-Jazeera. Berapa agakanya mereka bayar ‘wartawan’ ini?

Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang.

Penguatkuasaan itu sudah dimaktubkan dalam undang-undang kita, Akta Imigresen 1959/63. Jika anda (wartawan Al Jazeera) tidak terlalu sibuk menayangkan kad media dikeluarkan Jabatan Penerangan, buat carian Google tentang undang-undang imigresen Malaysia.



Ia sangat jelas dinyatakan dalam undang-undang dan/atau bagi mana-mana negara berdaulat untuk melindungi sempadan mereka. Namakan satu negara yang mengizinkan PATI untuk tinggal di negara mereka secara bebas? Tiada. Malah, di Bangladesh sekalipun.

Tahukah anda, di Bangladesh, setiap warga asing yang tinggal atau hendak tinggal bagi tempoh tujuh hari atau lebih di daerah yang bukannya tempat tinggal berdaftar mereka, mestilah melaporkan kehadiran mereka kepada Pejabat Pendaftar daerah berkenaan dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan mereka sebagaimana dinyatakan Artikel 11 (2), Akta Warga Asing Bangladesh 1946.

Manakala Artikel 3, Akta Kawalan Kemasukan 1952 Bangladesh, menyatakan warganegara bukan India tidak boleh memasuki mana-mana kawasan di Bangladesh, melainkan memiliki pasport dengan visa yang membenarkan kemasukan mereka.

Sementara Artikel 6, akta yang sama turut menyatakan Kuasa Untuk Menangkap: mana-mana pegawai polis, kastam atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa bagi pihak berkuasa atau perintah khas dari Kerajaan Persekutuan atau di bawah peraturan di bawah Akta berkenaan, boleh MENANGKAP TANPA WARAN mana-mana orang di mana pegawai terbabit mempunyai syak yang munasabah terdapat perlanggaran terhadap artikel 3 (disebut di atas).



‘Wartawan’ terbabit bertegas mahu meneruskan rakaman di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dengan menunjukkan kad media Jabatan Penerangan. Saya gelak. Tetapi bagus jugak dia turut memaparkan rakaman berkenaan bagi menunjukkan kejahilannya.

Kita kini berdepan satu pandemik. Mereka yang ditugaskan dalam kawasan PKPD perlu mengikuti SOP yang ketat. Jika anda dijangkiti, anda juga akan bising dan membuat tuduhan bukan-bukan terhadap kerajaan Malaysia. Naratif video itu turut menyebut: “.. mereka yang tidak memiliki dokumen, segera ditangkap.”

Anda mahu PATI bebas berjalan ke mana-mana tanpa sekatan, pada ketika mereka secara jelas melanggar undang-undang di negara berdaulat dan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah adalah satu jenayah.

Pada minit ke 2.25, ‘wartawan’ yang fasih berbahasa Bangladesh itu bercakap dengan dua ‘pendatang asing’ di mana, secara jelas berada di dalam kawasan PKPD.



Namun naratif ceritanya disebut sebagai “..bimbang untuk meninggalkan pangsapuri mereka kerana dia tidak memiliki permit kerja. Dia berjaya mengelak dari ditangkap, dengan bersembunyi.”

Faktanya, tiada sesiapa dibenarkan keluar dari kawasan PKPD. Tiada sesiapa termasuk warga tempatan. Saya amat yakin ‘wartawan’ ini bebal dan sengaja mencetuskan kebencian.

Tanggapan palsu

Apapun, berdasarkan kepada naratif ceritanya, wartawan ini mendakwa kedua-dua pendatang asing ini bersembunyi dari ditangkap maka pihak berkuasa perlu tangkap wartawan ini kerana dia tahu di mana tempat persembunyian pendatang asing ini.



Dia kemudian menunjukkan kad media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, mendakwa dirinya dari media kepada seorang anggota polis dengan gambaran ia sebagai satu lesen besar untuknya biarpun diminta untuk tidak meneruskan rakaman.

Dia juga berkata dia berhak melakukan penggambaran. Nampak tak betapa dia tidak menghormati anggota barisan hadapan ketika kita mendepani pandemik ini?

PATI yang ditemuramah mereka juga amat diragui. Pendapat saya, ia dilakonkan. PATI itu mendakwa warga asing dianggap seperti anjing. Pernahkah anda pergi ke Bukit Bintang atau Mont Kiara? Pernah? Tiada warga asing diperlakukan sedemikian.

Malah, Malaysia menyediakan kemudahan yang baik bagi PATI yang ditahan di depoh tahanan. Sila baca: https://www.facebook.com/183354182494680/posts/728484191315007/



Dan adalah mengarut untuk mendakwa depoh tahanan adalah hotspot kepada jangkitan Covid-19. Operasi terhadap PATI sudah dilakukan dan dibuat sejak sebelum pandemik ini lagi.

Malah, Akta Imigresen kita sendiri adalah dari tahun 1959. Manakala akta yang sama bagi negara Bangladesh adalah pada 1952. Kita juga berjaya mengurangkan jangkitan dalam komuniti. Bayangkan jika PATI ini bergerak secara bebas, bergaul secara bebas dalam komuniti dengan Covid-19.

Rayhan Kabir, (minit 5.43) seorang warga Bangladesh yang tinggal di Chow Kit berkata “.. mereka (PATI) bukan pembunuh. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanya tidak ada dokumen.”

Jika ada mana-mana pegawai imigresen yang membaca, tolong periksa dokumen perjalanan lelaki ini juga. Menggambarkan bahawa pendatang asing tanpa izin tidak melanggar mana-mana undang-undang dan membandingkan ia dengan jenayah lain adalah satu tanggapan palsu dan tidak berasas.



Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dengan jelas menyebut: Tiada sesiapa selain warganegara Malaysia boleh memasuki Malaysia, melainkan ia memiliki suatu pas yang dikeluarkan dengan sah kepadanya bagi memasuki Malaysia; dan mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila sabit kesalahan, bertanggungan kepada suatu denda tidak lebih daripada RM10,000 ATAU penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

Dengan hukuman sedemikian, tidakkah mereka ini penjenayah? Mereka boleh dihukum mengikut undang-undang maka mereka adalah penjenayah.

Jabatan Penerangan perlu membatalkan pas media mereka. Jika dia seorang wartawan warga asing, adakah dia memiliki permit kerja sebagaimana dikehendaki undang-undang?

Malaysia Dateline

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker