Semalam Tinggalkan PH, Hari Ini Lubok Antu Mengadap Perdana Menteri

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang yang meninggalkan PKR semalam, menemui Muhyiddin Yassin hari ini untuk menyuarakan sokongan kepada perdana menteri.

Sumber berkata, bekas naib presiden PKR itu menyerahkan surat aku janji menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Muhyiddin.

Katanya, Jugah akan kekal sebagai wakil rakyat bebas buat masa ini.

Selain Jugah, turut hadir dalam pertemuan di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pagi tadi ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali serta Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju.



Semalam, Jugah dilaporkan berkata, beliau meninggalkan PKR kerana kesal dengan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan PH akibat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Beliau berikrar menyokong penuh kerajaan PN pimpinan Muhyiddin dan kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang diketuai Abang Johari Openg.

Katanya, dengan keputusan menyokong kerajaan PN itu, beliau berharap kawasan luar bandar yang diwakilinya diberi perhatian dan sokongan oleh kerajaan untuk pembangunan.

Buat masa ini, PKR hanya mempunyai 2 ahli Parlimen di Sarawak, iaitu Ketua PKR Sarawak, Larry Sng dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo.



Peletakan jawatan Jugah menyusul hampir seminggu selepas bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian menyertai parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker