Covid-19: Jika vaksin ditemui, cadang mandatori untuk semua

Share

JIKA vaksin Covid-19 ditemui, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mungkin akan mewajibkannya kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarah Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, dasar mengenai perkara berkenaan belum ada.

Menurutnya, sebelum dasar mandatori itu dikeluarkan pihaknya perlu melihat keberkesanan dan kesan samping.

“Memang kajian ada tetapi belum ada lagi vaksin untuk Covid-19. Tetapi apa yang penting kalau kita ada vaksin, kita juga nak melihat kepada keberkesanan dan kesan samping sebelum keluarkan sesuatu dasar.

“Kita akan melihat kepada dasar yang akan ditetapkan nanti kalau vaksin sudah ditemui. Besar kemungkinan kita akan adakan dasar untuk mewajibkan vaksin. Setakat ini kita tidak ada dasar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menjawab soalan wartawan sama ada akan mempertimbangkan mandatori pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia jika vaksin virus pandemik itu sudah ditemui.

Sementara itu, katanya, KKM melihat kajian vaksin dijalankan di luar negara sebagai satu perkembangan baik.

“Kita lihat sekarang ini banyak negara yang sudah menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai vaksin Covid-19.

“Di Amerika Syarikat (AS), kajian fasa kedua sudah pun lengkap dan akan menjalankan kajian klinikal fasa ketiga iaitu membabitkan beberapa negara.

“Juga kita dimaklumkan negara China juga menjalankan kajian fasa kedua setakat ini. Laporan lengkap akan dikeluarkan mungkin November. Kita melihat kajian ini satu perkembangan yang baik,” katanya.

Dijangkakan, katanya, mungkin ia mengambil tempoh kira-kira setahun atau setahun setengah sebelum vaksin dipasarkan.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan vaksin dicipta itu akan berkesan untuk mencegah daripada dijangkiti virus Covid-19.

HM

(Visited 121 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!