Mangsa , keluarga boleh saman pemandu mabuk

Share

MANGSA atau ahli keluarga boleh mengemukakan tuntutan sivil bagi menuntut pembelaan atas kecuaian pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan itu bagi membantu membela nasib.

“Pihak polis hanya melakukan siasatan berpandukan peruntukan undang-undang dalam menentukan pihak mana yang melakukan kesalahan atau kecuaian.

“Manakala pihak keluarga mempunyai hak untuk membuat tuntutan sivil dan berjumpa pihak guaman yang akan membantu memfailkan saman sivil berkenaan.

“Mungkin dengan cara itu boleh membantu pihak keluarga mangsa. Namun ia bergantung kepada sejauh mana pembuktian kecuaian yang akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di RTM TV1, hari ini.

Berdasarkan statistik kes kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, Mohd Nadzri berkata, JSPT merekodkan 23 kes di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 22 kes kemalangan sudah direkodkan.

Berikutan itu, katanya, pindaan undang-undang sedia ada supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas individu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah amat wajar dilaksanakan.

HM

(Visited 187 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!