Bukan Najib, tapi ‘pihak ke-3’ seleweng dana SRC.

Pihak pembelaan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dakwaan penyelewengan dana syarikat itu dilakukan “pihak ke-3”, bukannya bekas perdana menteri itu.

Peguam Harvinderjit Singh berkata, RM42 juta yang didakwa dipindahkan ke akaun bank Najib dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Katanya, pegawai penyiasat Rosli Husain turut memberi keterangan yang notis merah Interpol sudah dikeluarkan ke atas Nik Faisal dan Jho Low atas dakwaan melakukan pecah amanah bersama.

“Ada bukti mencukupi untuk membuktikan kemungkinan Jho Low dan Nik Faisal melakukan pecah amanah.”



Harvinderjit berkata, bukti daripada bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, yang bercakap dengan Jho Low sebagai orang tidak diberikan kuasa ke atas akaun Najib, juga menunjukkan ahli perniagaan terbabit “memanipulasi akaun itu tanpa pengetahuan pemegang akaun”.

Katanya, 3 pertuduhan pecah amanah terhadap Najib menyeleweng RM42 juta daripada SRC International sebagai ejen yang diamanahkan dengan dana awam “tidak akan dapat dibuktikan”.

“Dalam pembelaannya (Najib), beliau tidak mengarahkan atau terbabit dengan transaksi RM42 juta.

“Untuk mengekalkan pertuduhan pecah amanah, bukti secara keseluruhan perlu membuktikan sama ada melalui penemuan fakta atau kesimpulan yang hanya konsisten dengan kesalahannya.”



Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker