Saya maafkan semua – Najib

Share

Datuk Seri Najib Razak menegaskan yang beliau secara peribadi memaafkan semua pihak yang termakan dengan hasutan mereka yang memfitnahnya.

Menurutnya, tidak ada manusia di dunia ini yang terlepas melakukan kesilapan termasuk dirinya sendiri.

Katanya, mereka yang termakan dengan hasutan itu sebenarnya bukanlah melakukan kesilapan yang terlalu besar namun kesilapan itu berlaku kesan daripada propaganda negatif yang bertubi-tubi terhadap Barisan Nasional (BN) dan kepada dirinya sendiri.

“Tak mungkin semua yang termakan fitnah itu ada peluang untuk memeluk saya, untuk jumpa dengan saya

“Orang intelek pun termakan hasutan dengan propaganda Pakatan Harapan (PH), jadi saya maafkanlah semua yang termakan dengan hasutan, mudah-mudahan akan datang ada masa, ada peluang untuk kita tebus kesilapan.

“Bukan untuk diri saya tetapi kita pilihlah yang terbaik untuk negara kita, janganlah pisang berbuah dua kali,” tambah Najib.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif program Owh!MG terbitan MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Najib bagaimanapun berharap rakyat negara ini akan berfikir dahulu seandainya selepas ini ada mana-mana pihak yang menabur janji kerana setiap janji itu mestilah berada dalam ruang lingkup yang munasabah.

Ujarnya, janji ‘terlalu manis’ yang ditaburkan adalah janji auta yang tak boleh diterima sama sekali.

Menurutnya, Malaysia ada sebuah negara antara yang paling berjaya di dunia dan mempunyai masa depan yang cukup baik.

Justeru beliau meminta agar tidak diulangi kesilapan sebelum ini dan berdoa mudah-mudahan negara ini akan berada di landasan yang lebih kukuh. – MalaysiaGazette

(Visited 6,392 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!