P. Ramlee, Genap 47 Tahun Meninggalkan Karya Agung Untuk Diwarisi

47 tahun sudah kau pergi meninggalkan kami

Terima kasih kerana mewariskan kepada kami Masyarakat Senusantara satu Khazanah yang amat bermakna untuk kami tatap dan amati sehingga ke hari ini Semoga Rohmu dicucuri Rahmat Allah..

“Karyamu akan terus mekar kerana Karyamu adalah Karya Jiwa”

Fairus Misran

 



Perkongsian Allahyarhamah Saloma

‘’Kita tak usah bercerai, kita dah tua kalau nak bercerai biar bercerai mati jangan bercerai hidop…’’

Demikian kata-kata terakhir dilafazkan oleh Allahyarham P Ramlee kepada balunya Cik Saloma beberapa waktu sebelum beliau meninggal dunia.

‘’Saya menerima kata-katanya itu dengan perasaan churiga meskipon di hati saya tak menduga boleh berlaku,” kata Saloma ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dedap Kuala Lumpor kelmarin.



GANJIL

Menurut balu Allahyarham yang berusia 31 tahon itu, bahawa pada beberapa hari sebelom arwah meninggal dunia, beliau telah menunjukkan sikapnya yang luar biasa.

‘’Sebaenarnya suami saya itu seorang yang tersiksa jiwanya tetapi dia sentiasa kelihatan gembira sahaja dalam hidopnya, kematiannya mungkin terlalu berat memikul beban-beban dalam tugasannya sehari-hari dan saya sering menasihatinya agar jangan berputus asa. “Sesuatu yang hendak dicapai ia harus mengenepikan segala bentuk rintangan serta dugaan,” katanya.

Menurut Saloma lagi, dia pernah memberikan galakkan kepada Allahyarham sewaktu hidop dan pernah memberikan idea-idea yang berkesan agar Allahyarham tidak sentiasa diselubungi oleh perasaan susah.



’’Kerana saya tahu dia menghidap sakit jantung,dan untuk mengelakkan dia menjadi terlalu runsing, saya sentiasa menolong apa sahaja dalam hidupnya setiap hari. Saya katakan padanya abang boleh mengubah lagu, saya boleh menyanyi dan kita boleh bekerja kuat dalam usaha untuk meninggikan lagi taraf seni yang telah kita renangi dan juga taraf syarikat Rumpun Melayu yang dia sendiri menjadi pengarahnya,’’ tegas Saloma dengan nada serius.

Seterusnya biduanita veteran itu menyatakan bahawa mungkin itu sudah nasibnya hendak berpisah buat selama-lamanya apalah hendak dibuatkan.

Bercerita tentang peristiwa sedeh pada pagi Selasa itu, Saloma berkata, ’’Biasanya Allahyarham tidur lebih dari saya, tapi pada malam itu entah macam mana saya pula yang tidur lebih cepat darinya.’’

Menurut Saloma sepanjang perkongsian hidupnya Allahyarham tak pernah makan otak-otak,dan beberapa hari sebelom kematiannya beliau meminta Saloma membuat otak-otak.



‘’Dan selepas itu tiada kejadian ganjil yang dibuat. Pada pagi Selasa itu kira-kira jam 4 saya dikejutkan oleh Allahyarham yang mengadu jantungnya sakit. Segera saya memberi minum air selawat kepadanya dan memberitahu yang saya ingin menelepon ambulans tapi Allahyarham berkata yang dia tahu dia diserang sakit jantung dan rasa dia akan mati.’’

JATUH KE RIBA

Selepas saja berkata demikian Allahyarham berehat di atas katilnya sementara Saloma tetap memerhatikan kedudukannya disisi katil. Belum pun sempat berbuat apa-apa, tiba-tiba Allahyarham kelihatan resah dan terus jatuh dari atas katil dan terus ke ribaan isterinya. Ketika jatuh Saloma sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia menyangka tentulah suaminya pengsan. Lebih dari sejam Allahyarham di pangkuan Saloma, dan melihatkan tubuh Allahyarham tidak bergerak-gerak, Saloma terus memanggil salah seorang ahli keluarganya untuk menelepon ambulans.

Apabila tiba sahaja di rumah sakit barulah Saloma tahu suaminya sudah meninggal dunia, itupun setelah mendapat pengesahan dari doktor.



Menyentoh tentang kegiatan Allahyarham sepanjang hayatnya dahulu, Saloma menyatakan dia cukup mengerti soal peribadi suaminya itu, katanya lagi suaminya seorang yang berjiwa seni, berjiwa perjuangan dan pemurah.

Dalam hidop kami sehari-hari,arwah suami saya itu tidak pernah menyusahkan saya, saya tidak disuruhnya masak, cuci pakaian, tidak dibenarkan saya bekerja kuat sedangkan makan minumnya sendiri pun saya tidak pernah mencedoknya, bila saja dia balik ke rumah, dia pergi ke dapor menyedok nasi dan lauk lalu makan, tidak suka bercakap banyak selain berkelakuan lucu dan dan suka berjenaka, ujar Saloma.

‘’Jadi itulah yang saya katakan, untuk mendapat seorang suami seperti P Ramlee, bagi saya paling sukar sekali, kerana sikapnya yang suka menyenagkan orang lain daripada dirinya sendiri…’’ terang Saloma lagi.

‘’Ini kadang-kadang saya berasa diri saya suka dan tertawa sendirian kerana teringat lagak Allahyarham bila mengenangkan Allahyarham suka bergurau..’’ kata Saloma sambil tertawa kecil mengenangkan kelucuan P Ramlee sewaktu hidup dahulu.



Menurut beberapa sahabat akrabnya, jiwa P Ramlee sentiasa tersiksa, jiwanya ini disebabkan terlalu banyak soal-soal yang tidak dapat melegakan fikiran serta perasaannya setiap hari.
P Ramlee sentiasa hidup tersiksa tetapi bukan tersiksa kerana tidak makan atau tidak berpakaian, kerana jiwanya sangat pemurah, adil dan paling suka menolong kawan-kawanya di dalam keadaan susah atau menderita beliau akan menanggongnya bersama-sama. Lebih menyedehkan lagi ketika saya melihat keadaan Allahyarham seorang jagoh perfileman Melayu seolah-olah seperti orang terbuang semasa menghadiri majlis penyampaian hadiah-hadiah di Panggong Negara Singapura dalam Pesta Filem-Filem Asia ke-19 pada bulan Mei lalu. P Ramlee diundang, tapi tidak diberikan layanan sewajarnya. Meskipun beliau terpaksa duduk bersama penonton-penonton biasa, ternyata kelihatan wajahnya cukup tenang.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=f5EL1x4ABzk[/embedyt]

Pernah beliau meminta segala bantuan dari orang-orang kita, setelah beliau sendiri terasa begitu pahitnya mengerjakan sesuatu projek, meskipun bakat yang ada pada dirinya itu cukup lumayan, namun dari segi kewangan telah menjadi sebagai suatu pemerasan serta tekanan hebat bagi jiwanya itu.Tidak ada seorang pun yang ingin memberi bantuan yang diperlukannya.Dan inilah punca yang lebih memberatkan tersiksanya perasaan Allahyarham hingga mengakibatkan beliau diserang penyakit jantung.

Bagaimanapon cita-cita tetap cita-cita, sungguh pun segala pertolongan yang dimintanya itu gagal, tetapi keazamannya cukup kuat, Allahyarham mengambil keputusan untuk berusaha secara perseorangan tak kira apa akan terjadi ke atas dirinya.

Mungkin dimata masyarakat memandang bahawa kehidupan P Ramlee dianggap manusia paling mewah dan paling berkaliber, paling luar biasa dan cukup agresif, di sebalik itu pula manusia kurang memahami bagaimana penyiksaan jiwa beliau kerana pada setiap usaha yang ingin dilakukan beliau pasti akan menempuh pelbagai masalah untuk mencapai ke peringkat kejayaan.

Bagaimanapun, seluruh masyarakat berbangga dengan kebolehan yang telah dicapai sepanjang hidupnya, dan kedewasaan seniman agung yang bergelar Raja Hiboran ini bukan sebutir bintang yang pudar.Namanya tetap dikenang oleh ribuan peminat dari sa-tahon ka sa-tahon dan mungkin sa-ribu tahon lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker