Mangsa Pemandu Mabuk, Tiada sambutan Syawal yang meriah selepas kematian Safwan

Share
Kenangan Suraya (kanan), Allahyarham Safwan (dua dari kanan) bersama adik-beradik yang lain.

SHAH ALAM – “Hanya rasa sebak dan pilu yang tidak dapat diungkap apabila mengenangkan pemergian adik yang maut dilanggar ketika menjalankan tugas.”

Demikian luahan kakak sulung Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, Suraya, 32, apabila mengenangkan sambutan Aidilfitri kali ini yang agak hambar berbanding tahun sebelum ini.

Walaupun masih diselubungi kesedihan namun keluarga itu tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

“Syawal kali ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Kalau dulu meriah serta riuh rendah dengan sambutan bersama. Walau tidak cukup kami sembilan beradik, namun raya tetap raya dan kami sentiasa berhubung melalui telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Tapi kali ini pemergian Allahyarham Safwan amat dirasai oleh kami adik-beradik,” katanya.

Allahyarham Safwan meninggal dunia pada 3 Mei lalu selepas dirempuh sebuah kenderaan paacuan empat roda yang dipandu lelaki dipercayai mabuk ketika bertugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang.

Bercerita mengenai Allahyarham Safwan, Suraya berkata, adiknya itu sebelum ini selalu berjauhan dengan keluarga kerana bertugas di perantauan dan disebabkan komitmen kerja, adiknya tidak membuat sebarang persiapan raya lagi untuk tahun ini.

Allahyarham Safwan (kanan) bersama rakan setugasnya ketika menjalankan SJR.
Allahyarham Safwan (kanan) bersama rakan setugasnya ketika menjalankan SJR.

“Kami tinggal di Perak dan adik ketika hayatnya seorang yang amat mementingkan tugasnya dan selalu bersiap awal ke tempat kerja. Kadangkala sanggup tidur dalam trak polis kerana takut lewat datang kerja.

“Arwah juga seorang yang sentiasa jaga penampilan dan memastikan pakaian kerja digosok dengan kemas dan sentiasa jaga muka dengan rapi untuk tampil kemas ketika bekerja,” katanya.

Suraya berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adiknya pada awal Ramadan lalu dan sempat berbuka bersama keluarga.

“Arwah nampak gembira masa pulang ke kampung dan sempat beli lauk untuk juadah berbuka untuk adik-adik dan selepas itu arwah terus ke hospital melawat abah yang mengalami masalah kesihatan dan terus mulakan perjalanan balik ke Kajang dengan menunggang motosikal.

“Lebih menyayat hati, Safwan sempat berkongsi gambar lama selepas habis rekrut dengan lengkap berpakaian seragam putih dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Ia adalah gambar terakhir yang dikongsi adik pada 1 Mei sebagai tanda sudah 11 tahun menjadi anggota polis,” katanya.

Suraya berkata, dia akan terus meneliti dan mengikuti perkembangan susulan berhubung pihak yang disabitkan atas kes kemalangan yang melibatkan adiknya itu.

“Pihak keluarga berharap kes ini dapat pembelaan sewajarnya dan pesalah mendapat hukuman setimpal.

“Apa yang saya perlukan saat ini adalah doa rakyat Malaysia agar nasib adik saya ini mendapat pembelaan,” katanya.

SH

Berkaitan: https://mykmu.net/2020/05/27/ibu-segala-kejahatan-kerajaan-perlu-lebih-tangani-arak-dari-pemandu-mabuk/

(Visited 20 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!