Aksi Liverpool-Atletico cetus 41 kematian

LONDON: Keputusan membenarkan perlawanan Liga Juara-Juara antara Liverpool dan Atletico Madrid diteruskan mungkin menjadi punca kepada pertambahan 41 lagi kematian akibat COVID-19.

Skuad kendalian Jurgen Klopp bertemu kelab Sepanyol itu dalam aksi timbal balik kelompok 16 terakhir di Anfield pada 11 Mac dan disaksikan sekitar 52,000 penonton, termasuk 3,000 penyokong pelawat.

Ia adalah aksi bola sepak terakhir berlangsung di England sebelum penanggguhan akibat COVID-19.

Ruangan Edge Health Sunday Times, yang menganalisis data untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), menganggarkan perlawanan itu dikaitkan dengan 41 kematian di hospital berhampiran selepas 25 dan 35 hari kemudian.

Imperial College London dan Universiti Oxford menganggarkan Sepanyol mempunyai 640,000 kes positif ketika perlawanan itu diteruskan, berbanding 100,000 di Britain pada peringkat berkenaan.



Bulan lalu Datuk Bandar Liverpool City meminta siasatan dijalankan terhadap mengapa perlawanan menentang Atletico diteruskan.

“Jika jangkitan berlaku akibat acara sukan yang sepatutnya tidak berlangsung, ia sesuatu yang mencurigakan.

“Ia perlu disiasat bagi memastikan sama ada mereka yang terbabit berpunca daripada penyokong Atletico. Madrid antara kota yang mencatat kes tertinggi,” kata Steve Rotheram.

Atletico menang 3-2 selepas masa tambahan untuk menyingkirkan juara bertahan itu 4-2 secara agregat dan mara ke suku akhir. – AFP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker