MEDAC percepat tempoh proses permohonan bantu usahawan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya akan melaksanakan inisiatif penambahbaikan termasuk mempercepat proses permohonan bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi yang terjejas akibat COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata inisiatif itu termasuk memudah cara permohonan, menambah baik tempoh proses dan kelulusan pembiayaan yang bertujuan memantapkan lagi PKS di Malaysia.

Malah, usaha itu turut disesuaikan berdasarkan situasi semasa bagi memastikan usahawan terbabit mendapat sokongan kerajaan sewajarnya serta dapat beroperasi seperti biasa, kata beliau dalam satu kenyataan.

“Inisiatif penambahbaikan ini membuktikan MEDAC dan agensi peka terhadap keperluan semasa dan akan membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19. Adalah penting proses dan prosedur itu dipermudah serta ditambah baik agar akses kepada kemudahan kewangan atau perkhidmatan itu diterima lebih cepat dan akhirnya menghasilkan impak yang positif.



“Keberhasilan kepada usaha tersebut akan memberikan keuntungan kepada negara dan pada masa yang sama memberikan faedah serta membantu rakyat,” katanya.

Inisiatif terbabit adalah Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) TEKUN Nasional yang kini memerlukan hanya empat dokumen sokongan berbanding 17 dokumen sebelumnya iaitu salinan sijil pendaftaran syarikat atau lesen perniagaan, salinan kad pengenalan, salinan penyata bank dan salinan bil utiliti.

Menurut Wan Junaidi, langkah lain adalah proses permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) SME Bank yang dipendekkan kepada lima hari daripada 30 hari manakala Bank Rakyat (21 hari); Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (14 hari daripada 30 hari).

Selain itu, Skim Pembiayaan Francaisor, Pra-Francais dan Francaisi oleh Perbadanan Nasional Berhad turut menyaksikan proses permohonan lebih singkat kepada 10 hari daripada 14 hari; Audit Pematuhan Program PROTEGE – Ready To Work (RTW) dengan lawatan audit diminimumkan kepada sehari berbanding tiga hari.



Dalam pada itu, proses permohonan pengeluaran penuh simpanan usahawan oleh TEKUN Nasional turut dipendekkan kepada dua hari berbanding tujuh hari.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker