Usul Tun M sebenarnya untuk uji kekuatan sokongan terhadap Muhyiddin

Baik Tun Dr Mahathir Mohamad, mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu merendahkan diri masing-masing bagi menangani segera kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat semakin serius.

‘Percakaran’ antara pemimpin besar Bersatu melalui media tidak boleh menyelesaikan masalah, kecuali dengan duduk semeja.

Keadaan lebih meruncing apabila Dr Mahathir yang menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu dalam pemilihan parti itu bertindak mengusulkan undi tidak percaya kepada Presidennya sendiri.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, senario ini telah menjadikan kemelut dalaman parti bertukar kepada isu negara memandangkan Muhyiddin adalah Perdana Menteri dalam kerajaan perikatan bersama-sama dengan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong beliau.



“Perlu dilihat bahawa usul ini tidak dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara tetapi oleh Pengerusi Bersatu. Ini menunjukan krisis dalaman dalam Bersatu begitu kuat sekali. `

“Yang ‘bergaduh’ sekarang ini merupakan dua tokoh dalam negara yang dihormati, oleh itu ia tidak boleh dipandang enteng.

“Apabila sesama sendiri membongkarkan kelemahan masing-masing secara terbuka melalui media, sama ada Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak mendapat apa-apa faedah pun kecuali memalukan parti.

“Situasi sekarang hanya menonjolkan kelemahan ketara kepimpinan dalam Bersatu, seolah-olah kepimpinan tidak tahu peraturan parti, perlembagaan parti dan struktur parti sendiri. Apa yang berlaku ini sudah macam cerita kartun.



“Rakyat yang mengikuti perkembangan ini melihat sendiri bagaimana kepimpinan Bersatu menonjolkan sifat ketamakan dan persaingan sesama sendiri, sudah tentu menjatuhkan reputasi parti ini kerana rakyat melihat kepimpinan parti ini sekadar alat tunggangan politik.

“Oleh itu, tiada jalan lain kecuali kedua-dua pemimpin elit ini merendahkan diri masing-masing dan selesaikan semuanya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Dr Mahathir mengusulkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin, Awang Azman berkata, usul itu tidak boleh dilihat kepada satu aspek sahaja.

Katanya, sebagai ‘orang lama’ yang begitu arif dalam ‘permainan’ politik, tindakan Dr Mahathir ini sebenarnya untuk melihat sejauh mana kukuhnya sokongan Ahli-Ahli Parlimen kepada Muhyiddin dan peluang beliau untuk menerajui kerajaan semula.



Ini kerana, kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan perikatan bersama Ahli-Ahli Parlimen adalah sangat rapuh kerana ia bukan dibentuk melalui perjanjian seperti Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan.

“Inilah permainan politik tahap tertinggi untuk melihat kekuatan Muhyiddin sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, Awang Azman berpendapat, untuk Dr Mahathir kembali berkuasa selepas dua kali dilantik sebagai Perdana Menteri tidak mudah berdasarkan respons semasa rakyat.

Sikap, tindak-tanduk dan pendirian Dr Mahathir yang cepat berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu membolehkan rakyat menilai sendiri kepimpinan beliau.



“Beliau bukan sahaja tidak menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir juga tidak menunaikan janji-janji manifesto menyebabkan rakyat sukar untuk menerima beliau.

“Untuk kali ketiga menerimanya, rakyat akan tertanya-tanya “Boleh percaya lagi ke”. Rakyat tidak mahu tertipu lagi seperti mana yang berlaku pada Anwar,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker