Pas dan Umno adakan pertemuan tertutup di Kedah, apa tandanya?

Share

Laporan: PAS Kedah, Umno hadiri perhimpunan tertutup di Alor Setar.

Kedudukan kerajaan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah menjadi perhatian apabila media melaporkan satu pertemuan tertutup dalam kalangan pemimpin kanan PAS berlangsung di Alor Setar hari ini.

Tanpa banyak maklumat diperolehi, pertemuan tertutup itu antara lain melibatkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya, dan ahli jawatankuasa pusat parti itu merangkap ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor.


Menurut BH Online, semua 15 Adun PAS menghadiri perjumpaan berkenaan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Turut tiba di situ menjelang tengah hari ialah Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom.

Perkembangan itu merancakkan lagi spekulasi mengenai peluang Umno dan PAS mengambil alih kerajaan negeri yang kini dikuasai PH bersama Bersatu.


Tidak seperti negeri lain Bersatu Kedah kekal bekerjasama dengan PH dan ia menyaksikan kepemimpinan kerajaan kekal seperti sebelum Langkah Sheraton.

Untuk rekod, Menteri Besar Kedah ialah Mukhriz Mahathir yang mengambil pendirian enggan menerima Umno seperti yang diusahakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Pada 7 Mei lalu, Ahmad dilaporkan berkata perubahan dalam kerajaan Kedah tidak dapat dielakkan lagi kesan daripada krisis dalaman yang berlaku pada PKR.


Mengikut pecahan, PAS merupakan parti yang mempunyai paling ramai Adun dengan 15 kerusi, manakala PKR menguasai tujuh yang lain, diikuti Bersatu (enam) dan Amanah (empat) dan DAP serta BN masing-masing ada dua.

Menurut Ahmad, Mukhriz kini mendapat kurang daripada separuh sokongan dalam kalangan wakil rakyat Bersatu di negeri itu.

“Atas semangat Muafakat Nasional, kami memiliki dua lagi kerusi milik Umno menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN,” katanya pada satu kenyataan.

BH Online juga melaporkan semalam Takiyuddin bersama Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kedah, Zainuddin Yaacob, di Alor Setar.

Mkini

Leave a Reply