Jangan menari ikut lagu orang lain, pesan Tok Mat sempena ulang tahun ke-74 Umno

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan ahli parti itu tidak menari mengikut lagu orang lain dalam memperjuangkan parti.

Ingatan itu dibuat dengan memetik pesanan Onn Jaafar sempena ulang tahun ke-74 Umno.

“Renunglah pesan pendirinya Umno, Almarhum Onn Jaafar. Kita hendaklah menggesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain menggesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan,” katanya menerusi Facebook.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat turut mengimbau perjalanan Umno yang pernah dilabel sebagai sudah terkubur selepas tewas dalam pilihan raya umum lalu.



“Terngiang-ngiang lagi ucapan beberapa tokoh tertentu yang mengatakan ‘Umno telah mati’, ‘Umno telah musnah’ dan ‘Umno telah menemui akhirnya’.

“11 Mei 2020, Umno meraikan ulang tahunnya ke-74, menjadi sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional dan membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional dengan seteru politik tradisionalnya, PAS. Demikianlah hayat Umno dan betapa perjalanannya itu benar-benar rahsia tuhan,” katanya.

Beliau berkata orang Melayu memerlukan Umno dalam politik Malaysia kerana parti itu meletakkan bangsa itu dalam kedudukan yang penting.

“Tiada yang keramatnya tentang Umno ini, tetapi yang pasti ialah orang Melayu dan Malaysia tidak boleh tidak mempunyai Umno dalam politiknya.



“Kepada orang Melayu, Umno telah menjadi instrumen kemerdekaan, wadah pembaharuan, kerajaan yang berjasa dan gerakan kebaikan yang luar biasa. Umno meletakkan bangsa Melayu dalam kedudukan berkepentingan, berpengaruh dan berkesejahteraan.

“Namun Umno jauh dari sempurna dan ada khilaf. Kerana lumrah sifatnya yang tidak sempurna itulah, saya menyeru kita menggunakan kesempatan ulang tahun ke-74 Umno ini untuk memperbaharui iltizam kita kepada Umno,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan semua ahli memperbetulkan kesalahan Umno yang dulu dan tidak menjadikan parti untuk kepentingan peribadi dan tempat mengejar kekayaan.

“Iltizam untuk tidak pernah jemu kepada pembaharuan dan pembaikan Umno. Iltizam untuk tidak menjadikan Umno tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi.



“Iltizam untuk menjadikan Umno ini parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu. Iltizam untuk tidak mengulangi lagi segala kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat. Iltizam untuk benar-benar menjadi suara yang sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker