Tak mahu dituduh zalim, menteri jawab kenapa polis tak sekat “Geng 36” arak jenazah tengah kota


Polis tidak terus bertindak ketika sekumpulan individu mengarak mayat di tengah kota menggunakan kenderaan yang mempunyai lambang kongsi gelap “Geng 36” kerana tidak mahu dituduh zalim, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, tindakan sewajarnya sudah pun diambil selepas perarakan selesai, yang menjadi perbualan selepas tular di media sosial.

“Takkan kita nak ambil tindakan ketika orang itu pergi hantar jenazah?” katanya kepada pemberita selepas program kementerian di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Kita ambil tindakan segera selepas itu dan siasatan dah dilakukan.”

Pada Rabu, lima lelaki berusia 18 hingga 26 tahun ditahan susulan perarakan itu. Video yang tular turut menunjukkan beberapa individu meletupkan mercun secara terbuka semasa perarakan, yang menyebabkan lalu lintas tergendala.

Mereka ditahan dalam serbuan polis di lima lokasi berbeza. Polis turut merampas beberapa kereta dan sebuah motosikal, selain sejambak bunga yang digubah membentuk angka 36.

Sementara itu, Hamzah berkata belum ada keperluan untuk mewujudkan semula tiga pasukan elit yang dikatakan berkesan menangani kumpulan jenayah terancang – Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Sebelum ini, Naib Presiden MIC, C Sivarraajh, menggesa tiga pasukan elit itu diwujudkan semula bagi menangani masalah gangsterisme dalam masyarakat.

STAGG, STAFOC, dan STING dimansuhkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan, dalam apa yang dikatakan penstrukturan semula beberapa jabatan polis.

“Buat masa ini kita mencukupi dengan apa yang kita dah ada, jadi kumpulan yang kita rasa mampu lakukan, kita tak perlu wujudkan lagi,” kata Hamzah.

Pada 2019, bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar, dilapor berharap pembubaran tiga pasukan elit itu tidak mengecewakan warga polis.

“Sebenarnya mereka yang bubarkan tidak tahu keberkesanan unit-unit ini,” katanya. FMT

Budak 5 Tahun Dirogol dan Dibakar, Mayat Disumbat Dalam Guni & Dicampak Di Timbunan Sampah

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker