Data KKM tunjuk 16 zon merah berdasarkan kes aktif

Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan bilangan kes aktif Covid-19 mengikut daerah di Malaysia, yang mendedahkan kini terdapat 16 kawasan zon merah apabila dikategorikan berdasarkan kes aktif.

Terdahulu, KKM hanya menyatakan zon merah berdasarkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kes mungkin memberikan gambaran kurang tepat berkenaan keadaan wabak di suatu kawasan, selepas mengambil kira kes yang pulih dan pesakit yang meninggal dunia.

Kawasan yang merekodkan lebih daripada 40 kes dikategorikan sebagai zon merah, diikuti dengan zon jingga (20 hingga 40 kes), zon kuning (kurang daripada 20 kes) dan zon hijau (tiada kes).



Laporan semalam menyatakan Kulai, Johor diisytiharkan sebagai zon merah ke-29, setelah merekodkan jumlah keseluruhan 41 kes.

Menurut carta KKM hari ini, Kulai kini mempunyai kes keseluruhan sebanyak 45 kes, namun hanya 23 daripadanya merupakan kes aktif.

Berdasarkan data kes aktif yang dikeluarkan hari ini, 16 zon merah itu ialah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Cheras, Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa, Jasin, Seremban, Kluang, Johor Bahru, Kuantan, Kuching, Kota Samarahan dan Tawau.

Sebelum ini, KKM menjelaskan bahawa pihaknya sedang menimbang untuk membuat takrifan semula berhubung zon, dengan berdasarkan bilangan kes aktif atau data pesakit yang belum sembuh dan berisiko menjangkiti orang lain.



Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya beberapa kali menegaskan bahawa, kadar kebolehjangkitan wabak tersebut adalah berdasarkan bilangan kes aktif.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,305, dengan 2,115 daripadanya adalah kes aktif.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker