Persatuan perubatan kongsi tips hadapi Ramadan ketika pandemik Covid-19

Kurang seminggu masyarakat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Namun, sambutan Ramadan tahun ini dijangka berbeza ketika dunia berdepan krisis Covid-19 di mana ia menjejaskan banyak negara dengan kadar kematian yang masih tinggi di beberapa negara.

Atas sebab itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan rakyat membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi suasana Ramadan yang “luar biasa”.

Badan itu menyarankan umat Islam mengambil dan mengamalkan makanan berkhasiat ketika berbuka sehingga bersahur.



“Kekuatan imuniti badan adalah antara faktor yang paling penting dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini,” kata Presidennya, Dr N Ganabaskaran kepada FMT.

Jelasnya, pengambilan vitamin, makanan tambahan untuk kesihatan dan buah-buahan seperti kurma amat digalakkan.

Katanya, bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes, mereka disaran mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan mengenai kaedah pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa.

“Ini adalah penting agar mereka kekal sihat dan mempunyai kekuatan untuk menghadapi wabak ini.”



Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Ramadan pada Jumaat, 24 April.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan pengalaman baru yang dialami sewaktu pandemik ini akan menjadi salah satu kebiasaan baru, atau “the new normal” bagi rakyat.

Kerajaan juga sudah mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, sebaliknya melakukan pembelian secara atas talian.

Selain itu, katanya, mereka juga tidak boleh ke masjid untuk solat Terawih secara berjemaah.



Mengulas lanjut, Ganabaskaran menasihatkan orang Islam meminum air kosong yang secukupnya pada waktu malam bagi mengekalkan tahap hidrasi badan untuk ekal kuat dan bertenaga.

Katanya, amalan tersebut penting terutamanya bagi petugas barisan hadapan yang bekerja keras tanpa mengira masa.

“Para doktor dan jururawat yang memakai pakaian khas, polis dan tentera yang bertugas di bawah panas terik matahari, semuanya terdedah kepada risiko kekurangan air di dalam badan,” katanya.

Beliau menegaskan amalan penjarakkan sosial perlu diamalkan sepanjang Ramadan dengan tidak berpusu-pusu ketika keluar membeli juadah berbuka puasa di mana-mana restoran dan kedai makan.



Menurutnya, umat Islam perlu merancang pembelian keperluan hari raya dengan bijak dengan tidak berpusu-pusu mengunjungi pasar raya di saat akhir.

“Mungkin inilah masanya juga untuk berbelanja secara atas talian (online) bersama ahli keluarga, di mana selama ini ia biasa dilakukan secara individu.

“Ianya sudah pasti akan memberikan satu pengalaman baru yang bermakna.”

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker