‘Tiada solat terawih di Mekah isyarat awal tiada ibadat haji’

Pengumuman kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan solat terawih berlangsung di negara itu memberi isyarat awal ibadat haji bakal ditangguhkan pada tahun ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat secara rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung penangguhan ibadat haji.

Menurutnya, kementerian juga sudah mengunjungi kedutaan Arab Saudi di Malaysia bagi mendapatkan kesahihan, namun mereka juga masih menunggu keputusan rasmi.

“Saya sudah memaklumkan kepada Tabung Haji supaya memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah berhubung penangguhan ibadat haji.

“Kita tidak mahu memaklumkan secara mengejut kerana bimbang mereka sudah membuat segala persiapan.

“Namun, baru-baru ini kerajaan Arab Saudi mengumumkan tiada solat terawih, kita beranggapan itu adalah signal awal bakal tiada ibadat haji,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada pusat pengajian pondok di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media berhubung keputusan Arab Saudi yang menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammed Saleh Benten berkata, pihak mereka bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.

Sehubungan itu Ahmad Marzuk berkata, umat Islam terutama bakal jemaah haji diminta perlu bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji di Tanah Suci pada musim ini.

Katanya, kerajaan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu dan berharap berita baik dapat diterima dari kerajaan negara itu bersabit musim haji ini.

“Kerajaan juga akan berhubung dengan semua bakal jemaah haji agar bersiap sedia untuk membuat sebarang persiapan sama ada dibatalkan atau sebaliknya nanti.

“Apa pun masih tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan Arab Saudi berhubung perkara dan apa yang berlegar di media sosial sebelum ini bukan sesuatu yang rasmi,” katanya yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker