AS siasat dakwaan #Covid-19 berasal dari makmal Wuhan

Pesiden AS, Donald Trump hari ini memaklumkan pentadbirannya sedang mengkaji jika koronavirus berasal dari sebuah makmal di Wuhan, China, manakala Setiausaha Negara, Mike Pompeo, mendakwa Beijing “perlu berterus-terang” mengenai apa yang mereka tahu.

Punca virus itu masih misteri. Panglima Tentera AS, Jen Mark Milley, ketua semalam berkata perisikan negara itu mendapati koronavirus mungkin berlaku secara semula jadi dan bukannya dihasilkan di makmal di China. Bagaimanapun belum ada kepastian mengenai hal tersebut.

Fox News melaporkan virus itu berasal dari makmal Wuhan dan bukan dicipta sebagai senjata biologi sebaliknya usaha Beijing untuk menunjukkan mereka setanding atau lebih baik daripada AS dalam mengenal pasti atau memerangi virus.

Laporan itu mencadangkan bahawa makmal yang melakukan uji kaji virus tersebut mempunyai piawaian keselamatan yang longgar menyebabkan ada individu dijangkiti berkunjung ke pasar basah di bandar raya berkenaan sebelum ia kemudian merebak.



Dalam sidang medianya di Rumah Putih, Trump ditanya mengenai laporan tersebut dan dia mengaku menyedarinya.

“Kami sedang melakukan pemeriksaan menyeluruh berkaitan situasi yang mengerikan ini,” katanya.

Ketika ditanya apakah Trump membangkitkan isu berkenaan dalam perbincangannya dengan Presiden Xi Jinping, dia berkata: “Saya tak mahu membincangkan apa yang saya perkatakan kepadanya mengenai makmal. Saya tak mahu membincangkannya, ia tidak sesuai sekarang.”

Lebih 20,000 maut



Trump sebelum ini berusaha menunjukkan hubungan Washington dengan Beijing adalah erat semasa wabak tersebut mengancam kerana AS bergantung kepada China untuk mendapatkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sangat diperlukan kakitangan perubatan mereka.

Sejak Februari, Institut Virologi Wuhan – yang disokong kerajaan – menafikan dakwaan bahawa virus itu mungkin terlepas dari salah satu makmalnya.

Pompeo – dalam wawancara dengan Fox News Channel selepas sidang media Trump – mengatakan bahawa pihaknya mendapat maklumat bahawa virus yang sudah menjangkiti lebih 2 juta orang di seluruh dunia itu berpunca hanya beberapa meter dari pasar basah Wuhan.

“Kami sangat memerlukan kerajaan China bersikap terbuka dan membantu menjelaskan bagaimana virus ini merebak.



“Kerajaan China perlu berterus-terang,” katanya.

Konsensus ilmiah yang luas menyatakan bahawa SARS-CoV-2 – nama rasmi virus berkenaan – berasal dari kelawar.

Trump dan pegawainya yang lain menyatakan keraguan mendalam terhadap jumlah kematian yang diisytiharkan secara rasmi oleh China akibat virus itu ialah kira-kira 3,000 orang ketika di AS sendiri korban akibat Covid-19 sudah lebih daripada 20,000 dan terus meningkat.

Menjelaskan keadaan itu, Trump mendakwa AS mencatatkan lebih banyak kes kematian kerana kerajaannya “membuat lebih banyak laporan.”



“Adakah anda benar-benar percaya jumlah di negara luas bernama China itu, mereka mempunyai sejumlah kes dan sejumlah kematian; adakah sesiapa yang benar-benar percaya?” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker