Malaysia Perlu Transformasi Kepada Kerajaan Digital Secara Total – Tok Mat

Share

Pandemik COVID-19 memberikan negara satu pengajaran besar bahawa sistem penyampaian kerajaan mesti kalis krisis dan tidak boleh dilumpuhkan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegasnya, tranformasi kepada Kerajaan Digital secara total adalah tindakan radikal yang Malaysia sangat perlukan.

“Hanya dengan demikian, kerajaan akan dapat melakukan tugasnya melindungi rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

Jelasnya dalam satu kenyataan, sistem penyampaian kerajaan mesti segera beranjak ke persada digital secara total.

“Lihat sahaja bagaimana sistem persekolahan kita yang gagal beroperasi dengan mode digital secara sistematik dan seamless dalam waktu pandemik sebegini.

“Banyak sekali masa pembelajaran terbuang. Menghantar tugasan melalui whatsapp ataupun email bukan pembelajaran online. Apatah lagi bila ramai ibu bapa terpaksa mengutamakan wang untuk membeli makanan daripada data internet, kerana kesusahan hidup dan tarif data yang mahal.

“Oleh yang demikian, sangatlah penting untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kejelasan bagaimana urusan persekolahan kita harus beroperasi secara produktif dari sekarang jika keadaan ini berlarutan,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi.

Oleh itu katanya, sistem penyampaian digital secara total mesti menjadi kepentingan nasional yang diutamakan dan dilaksanakan secara radikal, dengan mengutamakan tiga perkara.

“Pertama, meluaskan prasarana rangkaian internet terutamanya kepada kawasan unserved dan underserved. Segala jurang ini harus ditutup segera.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan syarikat penyedia perkhidmatan internet dengan tujahan inovasi dalam penyediaan perkhidmatan internet khusus kawasan luar bandar,” katanya.

Manakala kedua tambah Mohamad, penyediaan satu pelantar digital berpusat dan terpadu, yang membolehkan segala urusan bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dilakukan secara online dalam satu portal, akaun, sistem atau saluran, tidak boleh lagi tertangguh.

“Ia akan mengurangkan birokrasi, memaksimumkan ketelusan sekali gus meningkatkan kecekapan dan kecepatan urusan,” ujarnya.

Seterusnya yang ketiga, Mohamad berkata negara mesti membuka seluas-luasnya ruang persaingan untuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jalur lebar.

“Hanya melalui persaingan, tarif data akan menjadi lebih murah dan kompetitif.

“Malah kepada segmen tertentu dalam masyakat, data percuma untuk tujuan pembelajaran, keusahawanan dan khidmat masyarakat harus disediakan,” tambahnya.

Mohamad juga merujuk kepada laporan South China Morning Post pada 6 April lalu yang berhujah mengatakan dapatan saintifik mendapati bahawa pandemik coronavirus akan terus muncul dengan lebih kerap dengan impak yang sangat menggerunkan.

“Akhbar tersebut itu dengan tegas menyatakan bahawa “we need to be thinking about pandemics in the same way we think about climate change”.

“Kerana itulah dalam tulisan saya sebelum ini, saya nyatakan bahawa ancaman keselamatan ‘bukan tradisional’ akan menjadi ancaman paling besar kepada Malaysia. Negara akan terus dihantui oleh pandemik dan wabak pathogen sepertimana kita dihantui oleh krisis iklim yang membarah,” kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Justeru gesanya, Malaysia mesti meningkatkan kesiapsiagaannya terhadap semua itu.

“Cabaran terpenting ialah bagaimana kerajaan berfungsi dalam krisis sebegini.

“Kerana hanya kepada kerajaan sahajalah satu-satunya sandaran untuk kelangsungan kehidupan dan keselamatan dalam waktu luar biasa seperti ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply