Rawat hati gelisah

oleh Mohd Ajib Ismail

MANUSIA secara tabiatnya sering bersifat keluh kesah apabila dilanda kesusahan dalam kehidupan. Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ma’arij ayat 19-20 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut), apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.”

Terdapat pelbagai situasi yang menyumbang serta menambahkan lagi perasaan resah gelisah dalam kehidupan. Mungkin ia berpunca daripada konflik dan tekanan dalam keluarga dan rumah tangga, tempat kerja serta musibah yang melanda termasuk situasi getir seperti wabak Covid-19 yang sedang kita hadapi.

Perasaan ini sekiranya gagal dikawal menyebabkan tekanan dan kemurungan sehingga sanggup melakukan pelbagai tindakan yang membahayakan diri serta orang lain.



Bahkan dalam sesetengah situasi, tekanan yang tidak dapat dikawal akhirnya menyebabkan individu mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai seorang menteri di Jerman yang dijumpai maut dipercayai akibat membunuh diri ekoran kebimbangan melampau terhadap wabak Covid-19 dalam menangani krisis ekonomi.

Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan penyakit mental mengalami trend peningkatan yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Justeru masyarakat disarankan menjalani gaya hidup sihat dan seimbang mengambil kira keperluan fizikal, mental, sosial dan spiritual.



Dalam konteks kehidupan seorang Muslim, kita perlu kembali kepada pendekatan kerohanian dan spiritual bagi menghadapi perasaan resah gelisah melalui proses penyucian jiwa.

Manusia menurut pandangan Imam al-Ghazali terdiri daripada komponen jasmani dan rohani.

Justeru aspek keagamaan perlu diterapkan dalam pembangunan jiwa dan spiritual seseorang kerana ia berperanan dalam pembentukan perilaku, tindakan dan keputusan bagi seseorang manusia.

Amalan yang pertama yang perlu dilaksanakan dalam penyucian jiwa ialah melalui taubat kepada Allah.



Taubat perlu dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang sudah dilakukan serta disusuli dengan tindakan menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah.

Amalan yang kedua pula ialah melalui sifat sabar dan doa. Dalam konteks agama, sabar bermaksud menerima ujian Tuhan dalam perjuangan memperoleh keredaan Allah.

Individu yang memiliki sifat sabar memiliki personaliti baik yang menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan.

Dengan bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya.



Manakala doa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Setiap doa individu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan yakin ia akan dikabulkan Allah.

Selain daripada meningkatkan amalan kerohanian, kita juga disaran mendapatkan nasihat pakar perubatan dan kaunselor bertauliah dalam menghadapi situasi resah gelisah.

Mengambil ibrah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, ketika bersembunyi di dalam Gua Thur buat sementara daripada buruan kaum Musyrikin Makkah, Rasulullah menyuntik kata-kata semangat kepada Abu Bakar dengan pesanan: La tahzan Innallaha Ma’ana bermaksud: “Janganlah bersedih kerana Allah bersama kita.” Dalam situasi terkini wabak Covid-19 yang melanda negara, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan secara atas talian bagi mendapatkan nasihat mendepani saat yang tidak menentu ini.

Justeru amat penting bagi semua masyarakat menghayati saranan yang diberikan terutama dalam menghadapi tempoh getir ini supaya perasaan resah dan gelisah dirawat seterusnya dijauhkan dari hati.



Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker