Syarikat Kewangan Berlesen Dicadang Beri Penangguhan Bayaran, Hargai Kuasa Rakyat – Hairi

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua institusi, syarikat dan kerajaan Malaysia yang prihatin kepada rakyat Malaysia dalam menanggani permasalahan ekoran penularan wabak COVID-19.

Dalam hal ini, ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah mencadangkan semua syarikat kewangan berlesen termasuk AEON Credit, syarikat pengguna dan isi rumah elektronik, Coway, Cuckoo dan lain-lain yang menawarkan skim sewa beli kepada pelanggan supaya memberikan penangguhan bayaran sekurang-kurangnga tiga bulan sebagai menghargai pelanggan yang selama ini memberikan sokongan dan menggunakan khidmat mereka.

“Tanpa sokongan dan khidmat berterusan daripada pelanggan, sudah tentu syarikat kewangan berlesen di negara ini tidak dapat menjalankan perniagaan mereka sekali gus menjana keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadi, kata beliau, apa salahnya syarikat-syarikat berkenaan turut berlapang dada bagi memberikan penangguhan bayaran sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membantu pelanggan mereka yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.



“Apa yang Pergerakan Pemuda UMNO Johor sampaikan ini adalah daripada rungutan orang ramai khususnya golongan B40, M40 dan masyarakat kampung serta Felda yang turut mahu syarikat kewangan berlesen juga memberikan penangguhan seperti institusi perbankan.

“Suka saya ingatkan kepada semua intitusi pinjaman mahupun perbankan, kuasa ketika ini di tangan pengguna atau pelanggan, sama ada mereka memulangkan semula barangan yang dibeli, boikot ataupun syarikat terbabit memberikan penangguhan bayaran.

“Ini merupakan isyarat rakyat kepada syarikat kewangan berlesen termasuk Coway, Cuckoo dan lain-lain syarikat yang menawarkan sewa beli barangan keperluan asas rakyat.”

Ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpandangan, tidak rugi sekiranya syarikat-syarikat terbabit melaksanakan penangguhan bayaran.



“Moratorium ini bukanlah bermaksud rakyat mahu mengambil kesempatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan, penangguhan ini hanya sementara sahaja dan apabila keadaan kembali stabil, ia boleh diteruskan kembali seperti biasa.

“Pemberian moratorium ini juga tidaklah diwajibkan kepada pengguna, jika pengguna mampu membayarnya proses kutipan boleh diteruskan seperti biasa.”

Terangnya, keluhan rakyat kepada kami juga ada benarnya, jika sewaktu meminta pelanggan mencarum atau menggunakan perkhidmatan kredit mereka, pelbagai cara rayuan digunakan termasuklah menawarkan hadiah, kini apa salahnya syarikat berkenaan memberikan hadiah pula kepada rakyat.

“Hadiah itu (penangguhan bayaran) pasti menjadi hadiah yang cukup bermakna kepada pelanggan jika syarikat kewangan berlesen termasuk Coway dan Cuckoo memberikannya.” – UMNO Online



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker