Pemergian Martin Khor akan lebar jurang kemiskinan global, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, pemergian aktivis terkenal, Martin Khor Kok Peng ketika seluruh dunia giat memerangi pandemik Covid-19 akan melebarkan lagi jurang kemiskinan dan ketidakseimbangan global.

Katanya, sumbangan Khor menunjukkan kepentingan peranan pertubuhan sivil yang memberi perspektif adil, di luar jangkaun dan komprehensif dalam membangunkan negara.

Katanya, Khor ialah intelektual awam, aktivis, pejuang alam sekitar dan pemikir pembangunan terkemuka yang mempunyai reputasi dan wibawa global.

“Beliau pernah memimpin The South Centre di Geneva dan Third World Network, pergerakan madani yang memperjuangkan kepentingan negara membangun dan kurang membangun.



“Mendiang adalah sosok yang dirujuk pelbagai pertubuhan dunia dan kerajaan pelbagai negara dalam perkara berkaitan pembangunan lestari, menangani kesenjangan dan perdagangan bertanggungjawab.

“Namanya senantiasa menitir di bibir birokrat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia), Bank Dunia, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan pelbagai pertubuhan antarabangsa lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khor, 68, meninggal dunia akibat kanser di rumahnya di Tanjung Bungah pagi semalam.

Aktivis sosial itu dilahirkan di Pulau Pinang pada 1951.



Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menyifatkan Khor ialah ahli ekonomi dan intelektual dalam kelasnya tersendiri.

Katanya, Khor mendedikasikan sepanjang hayatnya untuk memperjuangkan nasib golongan dhuafa, terpinggir dan dilupakan.

“Misi beliau ialah pembangunan yang berkeadilan dan mengurangkan kesenjangan global demi kemanusiaan.

“Mendiang telah meletakkan asas sangat kukuh untuk kita memahami kesenjangan, kemiskinan, pembangunan mapan dan kelestarian di seluruh dunia. Kita mesti mengambil teladan daripada idea, pemikiran dan kerja kerasnya dalam perkara-perkara tersebut.



“Terima kasih atas segalanya, Martin. Kami akan sentiasa mengingati perjuangan saudara.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker