Zoo Negara hanya mampu bertahan 3 bulan kerana impak PKP

Share


Penutupan sementara sepanjang pelaksanaan PKP memberi impak kepada Zoo Negara yang meraih pendapatan daripada jualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai.
KUALA LUMPUR: Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu turut memberi impak kepada Zoo Negara yang terpaksa menggunakan tabung kecemasannya untuk meneruskan operasi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata keadaan haiwan di zoo itu masih dalam keadaan baik.

“Penutupan sementara sepanjang tempoh PKP adalah cabaran besar bagi menampung kos operasi Zoo Negara. Hal ini kerana Zoo Negara memperoleh pendapatan daripada penjualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai.”

Rosly berkata, setakat ini tiada badan tertentu yang memberi dana kepada Zoo Negara sepanjang PKP.

“Dalam menghadapi tempoh PKP ini, pihak kami menggunakan tabung kecemasan sedia ada.”

Tabung kecemasan itu ialah peruntukan yang diwujudkan khusus oleh pengurusan Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) untuk keadaan di luar jangka.

“Walaupun stok makanan untuk haiwan setakat ini mencukupi kerana penghantaran makanan haiwan oleh kontraktor yang dilantik masih berterusan dan tidak terjejas, tetapi tabung kecemasan itu hanya mampu bertahan 3 bulan saja.

“Jika masyarakat ingin menyumbang, kami sangat mengalu-alukan sumbangan itu dengan menyertai kempen ‘Adopt An Animal’.”

Rosly berkata, kempen itu adalah pakej yang dilaksanakan kebanyakan zoo di seluruh dunia bagi menambah pendapatan mereka bagi pembelian bekalan makanan, ubat dan kebajikan haiwan.

Mereka yang mahu menyumbang boleh melayari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut.

FMT

(Visited 2 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *