Doktor perubatan mangsa ke-9 Covid-19 meninggal dunia

Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan 1 lagi kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 9 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian ke-9 itu merupakan kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan lelaki berusia 48 tahun yang merupakan doktor perubatan KKM.

“Kes jangkitan Covid-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliner) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.

“Ianya berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.



Noor Hisham berkata mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom “severe acute respiratory infection”.

Katanya, mangsa disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020,” katanya.

Semalam, KKM mengesahkan 4 kematian akibat Covid-19, jumlah tertinggi kematian setakat ini.



Noor Hisham berkata, kes kematian ke-7 melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 daripada kluster jemaah tabligh.

Manakala kes kematian ke-8 pula adalah melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun juga daripada kluster tabligh.

Terdahulu hari ini, Sarawak mencatatkan 2 kematian akibat Covid-19.

Kes kematian ke-5 membabitkan seorang wanita berusia 79 tahun dan kes ke-6 melibatkan anak perempuannya berusia 40 tahun. Mereka berasal dari Kuching.
FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker