Menteri: KKM tempat 1,000 doktor pelatih di seluruh negara bantu operasi Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kesemua doktor pelatih akan menjalani induksi selama 5 hari mulai Isnin, termasuk berkaitan pengendalian elemen Covid-19.

Beliau berkata, langkah penempatan segera 1,000 doktor pelatih itu adalah bagi meredakan bebanan doktor sedia ada yang menumpukan perhatian pada kes Covid-19.

“Mereka kena melalui kursus induksi dan kita akan mahirkan mereka dengan elemen Covid-19 sebelum masuk ke sistem KKM,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung situasi Covid-19 di Hospital Permai di sini hari ini.



Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan dan pengarah kesihatan Johor Dr Aman Rabu.

Mengenai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu, beliau berkata sejumlah 508 jemaah terlibat di Johor sudah tampil secara sukarela melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Terdapat 94 pesakit dirawat di Hospital Permai dengan 21 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Terdapat 73 yang lain merupakan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan Covid-19 dengan 13 daripadanya adalah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak itu,” katanya sambil menyeru mereka yang menghadiri perhimpunan itu agar melakukan pemeriksaan.



Beliau berkata KKM turut menyarankan hospital swasta supaya mengehadkan waktu lawatan seperti yang dilakukan hospital kerajaan sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan.

“Kita sudah minta kerjasama hospital swasta supaya lebih tegas dalam hal ini. Terkini kita buat persefahaman dengan hospital swasta dalam menangani Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan membekalkan cecair pembasmi kuman kepada semua anggota tentera, terutama yang bertugas dan membuat kawalan di sempadan negara berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pembekalan cecair itu antara langkah kementerian untuk menjaga kebajikan anggota sepanjang masa ketika menjalankan tugas.



“Setakat semalam (Jumaat), saya difahamkan tiada anggota yang terlibat dengan wabak tersebut, namun kita tetap mengutamakan keselamatan mereka, terutama yang bertugas di sempadan dan pintu masuk utama negara,” katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai timbalan menteri di kediamannya di Kampung Lubok, Tanah Merah hari ini.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker