Kisah imam sayang kucing jadi iktibar

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Dalam satu paparan akhbar tempatan pada 18 Januari 2016 dahulu ada satu laporan yang pastinya bagi sesetengah kalangan kita masih teringat akan sikap penyayang seorang imam di sebuah masjid di Turki.

Menurut laporan itu, imam yang dikenali sebagai Mustafa Efe menunjukkan sikap belas ihsan terhadap kucing sehingga beliau membenarkan kucing tinggal di dalam kawasan masjid. Tindakan beliau menjadi viral di laman sosial dan menjadi tumpuan penggunaan Internet.

Sifat prihatin Imam Masjid Hudayi Aziz Mahmud di Turki itu, menjadikan beliau terkenal di laman sosial. Beliau sebelum inipun sememangnya dikenali ramai sebagai seorang yang amat menyayangi kucing.



Dimuatkan juga laporan imam itu membuka pintu masjid untuk menempatkan kucing yang terbiar, agar haiwan itu boleh berlindung daripada cuaca sejuk.

Itu kisah di Turki dan cerita yang serupa juga itu sebenarnya berlaku juga di dalam negara kita.

Masih ramai kalangan anggota masyarakat khususnya kaum Muslim yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit menjaga dan memelihara haiwan kesayangan Abu Hurairah itu.

Antaranya, Imam Muslim memetik riwayat yang diberitahu oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW melarang pembunuhan binatang dengan diikat lantas dipanah.



Manakala Imam Abu Daud pula mengambil riwayat yang dibawa oleh Ibnu Mas’ud. Kata Ibnu Mas’ud, “Tatkala kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, lalu Baginda menjauh untuk suatu urusan. Tiba-tiba kami melihat seekor burung dengan kedua-dua anaknya. Maka kami mengambil kedua-dua anak burung itu.”

‘Seketika kemudian datanglah si ibu burung itu dengan aksi berpusing-pusing. Kejadian itu sempat dilihat Baginda SAW, lantas Baginda pun bertanya, ‘Siapakah yang mempermainkan burung dengan mengambil kedua-dua anaknya itu? Kembalikanlah anak-anak burung kepada ibunya.’

Ibnu Mas’ud menyambung kisahnya dengan memberitahu ketika Rasulullah SAW melihat ada sarang semut yang kami bakar, maka Baginda SAW akan segera bertanya kami, ‘Siapa yang membakar sarang ini?’ Kami secara serentak menjawab, ‘Kami yang membakarnya Wahai Rasulullah.’ Apabila mendengar sahabatnya secara jujur mengaku akan perbuatan itu, lalu Baginda memberikan nasihatnya, “Sesungguhnya tidak seorang pun yang dibolehkan menyeksa dengan api, kecuali pemilik api itu sendiri (Allah).”

Jelas kisah yang diceritakan Ibnu Mas’ud itu menunjukkan apa sahaja tindakan secara zalim dan kekerasan terhadap haiwan ditegah oleh Islam. Baginda SAW memberikan amaran kerasnya dengan bersabda: “Sesiapa yang memisahkan antara induk haiwan dengan anaknya, maka Allah akan memisahkan antara dia dengan orang yang dicintainya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)



Sentiasalah ingatkan diri untuk jauhi daripada sikap buruk terhadap haiwan kerana haiwan juga adalah makhluk ciptaan Allah yang perlu disayangi dan diprihatinkan.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker