Pengumuman Bank Negara Bukti PH Gagal Mentadbir… Masih Mahu Perbodoh Rakyat

Share


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, pengumuman Bank Negara Malaysia bahawa kadar pertumbuhan negara tahun 2019 yang telah merosot kepada 4.3 peratus berbanding unjuran (target) kerajaan sebanyak 4.7 peratus terendah sejak tahun 2009 adalah bukti kegagalan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negara ini.

Jelas beliau, lebih mengecewakan apabila pasaran saham negara jatuh 16 mata hanya kerana kesilapan Pejabat Perdana Menteri menyediakan teks ucapan.

“Unjuran GDP tahun ini yang mana sepatutnya 4.8 peratus telah disebut 4.5 peratus menyebabkan pasaran menyangka unjuran Perkembangan Ekonomi Negara tahun ini telah diturunkan oleh Kerajaan. Bayangkan kehilangan ratusan juta ringgit dalam masa sehari hanya disebabkan oleh satu kesilapan kecil.

“Paling lawak apabila Menteri Kewangan mempertahankan unjuran ini dan memberi bayangan bahawa ekonomi negara semakin baik tapi dalam masa yang sama kerajaan memberi alasan kejatuhan ini kerana krisis Subprima yang berpunca di Amerika Syarikat dan ia melanda seluruh dunia.

“Kepimpinan PH dilihat masih terus memperbodohkan rakyat dan sentiasa mencari kambing hitam bagi menutup kelemahan sendiri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, kerajaan sepatutnya mengemukakan pelan cadangan bagi menyelesaikan krisis ekonomi yang sedang melanda negara dan bukannya terus berpolitik setiap masa.

“Tahun ini Bank Negara membayangkan bahawa krisis Coronavirus akan memberi impak negatif terutama kepada sektor pelancongan kita. Sehingga kini 90,000 tempahan bilik hotel dibatalkan, jika kita andaikan setiap bilik berharga RM100, anda hanya perlu tambahkan dua kosong (00) kepada angka 90,000 untuk mengetahui nilainya dalam bentuk ringgit.

“Naik turun industri pelancongan memberi kesan besar kepada bidang perhotelan, pengangkutan, perniagaan runcit dan makanan. Jika tiada jalan penyelesaian maka kita akan menyaksikan pemberhentian pekerja dalam sektor-sektor ini terutama perhotelan.

“Begitu juga industri pengangkutan, Air Asia sebagai contoh membuat pinjaman berbilion ringgit bagi memperoleh kapal terbang baru, bayangkan kesannya jika pinjaman ini gagal dibayar kepada sektor perbankan dalam negara. Tapi sayangnya sehingga kini kita belum mendengar pelan pemulihan yang dirancang, apatah lagi mendapat kepastian pelan tersebut mampu menyerap tekanan yang sedang dihadapi ekonomi kita,” bidas beliau.

Namun kini ujar beliau, suka atau tidak akhirnya rakyat tiada pilihan dan terpaksa terus bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan untuk mengharungi badai yang bakal melanda.

“Ini semua adalah kerana kesilapan memilih pada PRU-14 yang lalu… kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar, kerana ikutkan hati kini diri sendiri merana.

“Mahu tidak mahu rakyat terpaksa bersabar dengan keangkuhan kerajaan sekarang sementera menunggu PRU-15. Jadikanlah PRU-14 sebagai pengajaran,” tegas beliau. – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *