Penceraian : Kebajikan anak maha penting

BAGAIMANAKAH kedudukan hak penjagaan anak tatkala pasangan sudah bercerai. Perlukah untuk menjalani prosiding mahkamah bagi menentukan hak atau boleh dibuat menerusi perbincangan. Bagaimana pula keadaan hak penjagaan anak jika didapati faktor perceraian adalah di pihak isteri yang curang?

Penjagaan anak disebut ‘Hadhanah’ menurut syarak. Ia diwajibkan ke atas mana-mana orang yang berkelayakan untuk menjaga anak yang masih kecil dan tidak mampu untuk menguruskan diri mereka, menjaga segala keperluan, kebajikan mereka dan mencari nafkah untuk mereka, mendidik, membimbing serta mengasuh mereka.

Penjagaan anak ini juga diwajibkan ke atas ibu bapa sama ada dalam perkahwinan atau sudah bercerai. Ini kerana penjagaan anak atau hadhanah termasuk dalam kategori ‘hifz an-nafs’ (menjaga jiwa) yang diwajibkan Allah SWT. Jiwa anak wajib dijaga agar terhindar daripada kemudaratan dan kebinasaan.

Hukum ini bersifat pasti kerana mengabaikan penjagaan terhadap anak bererti membiarkannya terdedah kepada bahaya. Oleh itu, hak untuk mengasuh bagi orang yang diwajibkan Allah SWT untuk melaksanakan hadhanah bersifat khusus bagi mereka yang benar-benar berhak dan layak.

Pengasuhan anak tidak akan diberikan kepada mereka yang akan mengabaikan anak berkenaan kerana perkara itu secara pasti akan mendedahkan anak kepada bahaya dan kebinasaan.

Justeru itu, dalam keadaan sama ada ibu bapa yang masih dalam perkahwinan, akan bercerai atau sudah bercerai, hendaklah menentukan dan memastikan tanggungjawab penjagaan ini dilaksanakan dengan baik dan oleh mereka yang benar-benar layak.

Dengan demikian, sudah tentu tugas mengasuh anak tidak diberikan kepada anak kecil ataupun mereka yang kurang waras akal fikirannya . Tidak mungkin mereka mampu menjaga dan mengasuh anak sedangkan mereka (anak kecil dan orang kurang waras) sendiri memerlukan penjagaan.

Begitu juga pengasuhan anak tidak diserahkan kepada mereka yang sibuk dengan aktiviti lain yang menyebabkan mereka lalai untuk mengasuh anak. Orang yang memiliki sifat buruk seperti fasik juga tidak diberikan hak untuk mengasuh anak.

Sekiranya pasangan suami isteri bercerai dan mempunyai anak lelaki atau perempuan yang masih kecil (bayi) yang memerlukan penjagaan dan pengasuhan, maka yang lebih berhak ke atas pengasuhan anak itu ialah ibunya.

Dalilnya berdasarkan hadis Rasulullah SAW riwayat Abu Daud yang bermaksud: “Seorang wanita berkata, wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutkulah yang mengandungkannya, susukulah yang diminumnya dan pangkuankulah yang menjadi tempat sandarannya. Bapanya sudah menceraikanku dan ingin mengambil anak ini dari sisiku. Lalu Rasulullah SAW bersabda, engkau lebih berhak ke atas anak itu selagi kamu tidak berkahwin lagi.” Hadis Riwayat Abu Daud

Hak hadhanah ini diserahkan kepada ibu apabila keadaan anak itu masih kecil dan menyusu. Dengan kata lain, anak itu masih belum mampu memikirkan sesuatu perkara dan belum mencapai tahap dapat membezakan perilaku ayah dan ibunya.

Maka untuk situasi ini, anak itu mesti diserahkan kepada ibu untuk mengasuhnya. Namun, ketika anak itu sudah besar, tidak lagi menyusu, malah sudah mampu berfikir sesuatu perkara dan dapat membezakan perilaku ayah atau ibunya, tetapi masih memerlukan pengasuhan (masih belum mumayyiz), maka dalam hal ini anak itu diberikan pilihan sama ada untuk mengikut ayah atau ibunya.

Dalilnya bermaksud: “Sesungguhnya ia sudah masuk Islam, sedangkan isterinya menolak masuk Islam. Si isteri lalu datang kepada Nabi SAW dan kemudian berkata, ‘Ini anak perempuanku. Ia sudah disapih (berhenti susu) atau seumpamanya. Rafi berkata, ini adalah anak perempuanku. Nabi SAW lantas berkata kepada Rafi, Duduklah di sebelah sana. Beliau juga berkata kepada si isterinya, Duduklah di sebelah sana. Setelah itu, beliau meletakkan si anak
di tengah-tengah di antara kedua-duanya seraya berkata kepada kedua-duanya, Cuba panggillah anak ini oleh kalian berdua. Si anak ternyata condong kepada ibunya. Selanjutnya, Nabi SAW berdoa, ‘Ya Allah, berilah anak itu petunjuk.’ Setelah Nabi SAW berdoa, si anak pun kemudian condong kepada ayahnya sehingga diambillah ia oleh ayahnya itu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam usaha menentukan penjagaan anak, kedua-dua ibu dan bapa boleh berbincang untuk menentukan sebarang terma penjagaan anak mereka. Namun sebaik-baiknya apa juga persetujuan dicapai hendaklah direkodkan sebagai perintah mahkamah.

Bermakna, suatu permohonan hak penjagaan anak hendaklah
dipohon di mahkamah. Sekiranya ada persetujuan ia lebih mudah dan mahkamah hanya perlu memerintahkan persetujuan itu sebagai perintah.

Hari ini perintah penjagaan anak diperlukan dalam urusan pendaftaran persekolahan anak lebih-lebih lagi pasangan yang sudah bercerai. Oleh sebab itu, sangat digalakkan semua pihak yang bercerai mendapatkan suatu perintah penjagaan anak-anak mereka.

Sebaliknya, jika tiada persetujuan dicapai, ibu bapa atau penjaga yang layak hendaklah membuat permohonan dan menuntut hak penjagaan itu di mahkamah.

Sekiranya ada pertikaian daripada segi kelayakan orang yang mahu menjaga anak itu, mahkamah akan membuat pertimbangan khusus menerusi aspek segi kelayakan.

Jika ibu itu curang dalam perkahwinan, adakah perlakuan ibu itu akan mempengaruhi dan menyebabkan anak itu juga akan berkelakuan tidak baik hasil contoh dan cara didikan ibunya? Setiap dakwaan mengenai kelayakan orang menjaga hendaklah dibuktikan dan ditunjukkan kepada mahkamah. Pertimbangan utama dalam isu penjagaan ini adalah kebajikan anak terbabit.

Sebagaimana dijelaskan di atas, anak yang masih kecil dan menyusu, ibu yang lebih berkelayakan melainkan dibuktikan ibu itu sudah hilang kelayakannya. Jika dibuktikan ibu hilang kelayakan, maka barulah dipertimbangkan susunan orang yang layak menjaga anak itu menurut syarak.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker