Manifesto PH mansuh tol atau lanjut tempoh konsesi, Najib soal Tony Pua

Najib Razak membalas kritikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua berhubung isu pengurangan kadar tol Lebuhraya PLUS dengan mempersoalkan apakah manifesto Pakatan Harapan mahu menghapuskan tol atau melanjutkan tempoh konsesi.

Najib berkata, mana perginya cerita dongeng yang dijaja ke seluruh negara sejak 10 tahun lalu bahawa “hanya RM26 bilion diperlukan untuk hapuskan semua tol di Malaysia”.

“Tony amat bengang dengan saya, dia keluarkan kenyataan media hari ini untuk bidas saya. Dia kata saya ‘double counting’ dan salah kira, bahawa kerugian kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan setinggi RM68 bilion bagi satu tempoh konsesi dilanjutkan.

“Dia (Tony) suruh saya jangan salah gunakan kenyataan kerajaan PH bahawa pengguna tol akan jimat RM26 bilion dan kerajaan akan jimat RM42 bilion dengan pengstrukturan tol berkenaan. Okay lah, saya tidak mahu kira sendiri kerana Tony marah,” katanya menerusi Facebooknya.



Terdahulu Tony berkata, Najib tidak faham kira-kira dan mengeluarkan kenyataan bahawa “jumlah kerugian yang ditanggung pencarum KWSP dan pengguna tol masa depan sepanjang baki konsesi” ialah RM68 bilion.

Katanya, tohmahan bahawa pencarum KWSP akan rugi sebanyak RM26 bilion atau RM42 bilion atau pun RM68 bilion langsung tidak berasas dan merupakan tuduhan membabi buta.

“Beliau tengah merajuk kerana PH berjaya mencari penyelesaian kepada kadar tol yang tinggi dan kian meningkat pada zaman kerajaan Barisan Nasional, sedangkan Najib gagal melakukan yang sama,” kata Tony.

Najib menambah, Tony perlu memberi penjelasan kepada rakyat memandangkan pengguna lebuh raya membayar tol kepada PLUS. Malah, PLUS pada ketika ini terus kekal milik Putrajaya dan KWSP dan pada masa sama kerajaan pula tidak lagi membayar pampasan kepada PLUS.



“Pihak yang mana akan tanggung penjimatan untuk pengguna tol dan penjimataan kepada kerajaan? Sudah tentu KWSP, siapa lagi.

“Jika kerugian dan subsidi kepada pengguna tol dan kerajaan yang ditanggung KWSP bukan RM68 bilion, maka berapakah jumlah subsidi dari KWSP ini? Adakah RM26 bilion? RM42 bilion? Atau berapa? Bagilah angka. Jangan hanya kata saya salah kira,” katanya.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker