Pusat Syiah di Selangor bertambah, kata majlis agama Islam

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata, gerakan ajaran Syiah di negeri ini dilihat semakin meluas dan membimbangkan.

Pengerusinya, Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya mengesan pertambahan pusat kegiatan bagi pengikut ajaran Syiah di sekitar Selangor.

“Dari semasa ke semasa, ajaran Syiah dilihat semakin kuat dan makin bercambah.

“Sekiranya dahulu mungkin kita kesan hanya 2 atau 3 pusat kegiatan (ajaran Syiah) saja di Selangor, tetapi sekarang ini, ia telah bertambah mungkin ada 14 ke 15 (pusat) di beberapa tempat seperti Puchong, Gombak dan Klang,” katanya selepas menyampaikan sijil peguam syarie kepada 47 peguam semalam.

Khusrin berkata, pihaknya percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah itu ekoran bantuan pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan dan aktiviti seperti pada hari-hari tertentu mereka mengadakan sambutan bagi ajaran itu.

“Penyebaran ajaran Syiah dalam media sosial juga menjadi satu cabaran kepada kita untuk mengekangnya dan yang turut menjadi kesukaran bagi kita adalah pengikut ajaran ini sukar dikesan kerana mereka ini tidak akan mengaku mereka (mengamalkan) ajaran Syiah, selain amalan mereka juga tidak banyak berbeza daripada kita yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Oleh itu katanya, Mais dan agensi berkaitan di Selangor akan terus mempergiatkan usaha memantau gerakan ajaran Syiah dan memberi penerangan bahaya ajaran itu kepada orang ramai, terutama di sekolah dan masjid di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Khusrin menggalakkan umat Islam di Selangor mengadakan solat hajat dan doa selamat susulan kes koronavirus yang dikesan di Malaysia.

“Tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk mengadakan solat hajat, tetapi kita galakkan umat Islam melakukan solat tersebut.

“Beberapa masjid di Selangor telahpun mula mengadakan solat hajat memohon kepada Allah supaya kita dilindungi dari wabak itu.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker