PEREBUTAN KRONI PUNCA PLUS TIDAK JADI DIJUAL?

Share

oleh Ab Jalil Backer

Pengumuman mengekalkan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) di bawah kawalan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin merupakan satu-satunya keputusan terbaik yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Namun respon balas oleh Pengerusi Maju Holdings Abu Sahid Mohamed yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan terutamanya Khazanah sangat biadap dan angkuh.

Dalam kenyataan kepada portal berita FMT beliau menyifatkan keputusan itu sebagai “bodoh”. Beliau juga Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Shahril Ridza Ridzuan sebagai “pembohong” kerana menyatakan azanah tidak pernah meletakkan PLUS sebagai aset untuk dijual.

Menurut Abu Sahid, Maju Holdings dipelawa membida, bukan seperti syarikat lain yang hanya masuk tanpa jemputan.

Namun kenyataan Abu Sahid sendiri bertentangan apabila memberitahu FMT, “Bagaimana mereka boleh kata saya tidak dipelawa… Kami tulis surat kepada mereka, kami orang pertama menulis surat kepada mereka.”

Dari kenyataan Abu Sahid itu sudah jelas bahawa Maju Holdings yang terlebih dahulu menghantar cadangan pembelian, bukannya Khazanah memanggil sebut harga atau tender penjualan.

Untuk rekod Shahril sejak tahun lalu lagi sudah menyatakan ketidaksetujuan beliau dengan cadangan menjual PLUS kepada mana-mana pihak.

Ini bukan kali pertama Maju Holdings cuba melakukan pengambilalihan. Pada 2017, Maju Holdings turut mengemukakan cadangan pembelian PLUS namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Pada hemat penulis ada ada tiga sebab kenapa cadangan pengambilalihan ini terpaksa ditolak oleh kerajaan.

Pertamanya, kerajaan sedang berhadapan kritikan keras rakyat dan parti pembangkang mengenai penjualan pelbagai aset dan syarikat milik kerajaan di bawah Khazanah. Justeru satu lagi penjualan sebesar PLUS boleh menghakiskan terus kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Kedua, pendirian Pengerusi Khazanah yang sejak awal memberi isyarat bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebarang cadangan penjualan PLUS kepada pihak swasta. Shahril yang juga bekas CEO KWSP melihat kepentingan mengawal aset strategik kerajaan dan pelaburan KWSP yang menguntungkan penyimpan.

Ketiga ialah persaingan ‘bidaan haram’ sesama kroni. Bidaan ini adalah haram kerana Khazanah sendiri tidak mengumumkan sebarang jemputan membida untuk PLUS.

Kerajaan sukar untu membuat keputusan penjualan PLUS kerana ia sudah menjadi rebutan antara kroni-kroni kerajaan masa kini. Terdapat empat syarikat yang menawarkan pembelian tersebut ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan Karongsa Private Capital Sdn Bhd (KPCSB)

Pembabitan RRJ Capital yang merupakan sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong dalam penawaran ini menimbulkan persoalan apakah mereka mewakili kepentingan ahli politik tertentu dalam kerajaan hari ini?

Namun lebih jelas ada pertentangan antara ahli perniagaan terkait Mahathir dan yang terkait Tun Daim Zainuddin. Abu Sahid (Maju Holdings) diketahui umum sebagai sekutu rapat Dr Mahathir, manakala Halim Saad (KPCSB), merupakan anak didik Daim sejak di Peremba pada tahun 80-an.

Minat Halim dan Daim terhadap PLUS bukan perkara baharu kerana PLUS pada asalnya dikuasai oleh Halim sebelum berhadapan masalah dalam krisis kewangan dunia 1998. Pada 2014, Halim (dan Daim) menerusi Idaman Saga Sdn Bhd turut membuat tawaran pengambilalihan namun ditolak oleh kerajaan.

Pengekalan PLUS di bawah Khazanah Nasional dan KWSP merupakan satu kejayaan perjuangan rakyat terutamanya parti pembangkang yang berterusan mengkritik tindakan kerajaan melupuskan aset-aset yang menguntungkan kepada pihak swasta.

Rakyat belum lupa bahawa pada pada 2011, Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak telah mengarahkan pengambilalihan sepenuhnya PLUS oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menstrukturkan semula perjanjian tol yang berat sebelah sejak tahun 90-an.

Pengambilalihan ini juga membolehkan KWSP memperolehi pendapatan yang lebih baik bagi membayar dividen kepada pencarum. Dari setiap ringgit tol yang dikutip, 51 sen akan beralih kepada kerajaan melalui Khazanah Nasional dan 49 sen kepada KWSP – bukan lagi kepada pihak swasta.

Justeru hari ini marilah kita meraikan kejayaan menghalang aset kerajaan dari dijual dan menyelamatkan pelaburan KWSP.

Kekhuatiran kita ini hanyalah keputusan sementara yang akan berubah dalam masa setahun dua lagi apabila rakyat mula selesa semula dan oligarki politik mula berbagi ‘harta pusaka’.

*Sebahagian artikel ini disiarkan dalam Sinar Harian 20 Januari 2020

Leave a Reply