Putera Abu Dhabi dalam rakaman audio buat pelaburan besar di Indonesia, kata Najib

Najib Razak berkata Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed yang dikaitkan dengan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pelaburan besar dengan Indonesia.

Bekas perdana menteri itu berkata di saat negara jiran menerima pelaburan besar itu, Malaysia tidak mendapat sebarang pulangan.

“Inilah putera Abu Dhabi yang SPRM dedahkan dalam rakaman audio perbualan telefon saya minggu lepas.

“Hari ini dia melabur AS$22.8 bilion (RM93.5 bilion) di Indonesia. Malaysia dapat berapa?” katanya menerusi Facebook sambil memuat naik laporan berita di mana kerajaan Indonesia menerima menerima pelaburan dari UAE.



Beliau juga berkata puteri mahkota Abu Dhabi itu yang dikaitkan dalam audio rakaman sebelum ini menandatangani perjanjian penyelesaian antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan 1MDB di mana semua dana pelaburan negara yang didakwa hilang akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020.

“Tapi (Lim) Guan Eng (menteri kewangan) kata tak boleh dedahkan perjanjian tersebut walaupun saya berkali-kali mencabar tahun lepas untuk membuktikan saya selesaikan masalah 1MDB supaya 1 sen dana mereka pun tak hilang.

“Masa saya cabar saya belum didakwa. Masa itu, Guan Eng senyap dan tak mahu menjawab. Lepas saya didakwa di mahkamah, dia jawab dia tidak dapat dedahkan kerana kes sudah ada dalam mahkamah,” katanya yang memuat naik laporan FMT yang memetik kenyataan Lim.

Najib turut mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan mahu membatalkan perjanjian itu supaya kerajaan Abu Dhabi tidak berpeluang mengembalikan wang 1MDB dengan cara baik.



“Paling parah ialah PH mahu batalkan perjanjian penyelesaian itu supaya kerajaan Abu Dhabi tidak ada peluang untuk mengembalikan wang 1MDB itu dengan cara yang baik dan saya tidak dinampak telah menyelesaikan isu ini.

“Lalu kerajaan PH failkan saman terhadap kerajaan Abu Dhabi di London. Kerana propaganda bahawa Najib curi bilion-bilion duit 1MDB perlu diteruskan oleh PH,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Latheefa Koya sebelum ini bertindak mendedahkan rakaman audio dikatakan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan 7 lagi individu berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Latheefa berkata, rakaman itu melibatkan Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UEA menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker