Otak murid mangsa Influenza A didapati mati

Share

Murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia, 7, yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana disyaki dijangkiti influenza, kini dalam keadaan kritikal.

Ayahnya, Muhammad Nor Ain, yang ditemui pemberita di luar ICU HSA, memberitahu imbasan yang dijalankan tengah hari tadi mendapati anak bongsunya itu mengalami jangkitan pada hati dan disahkan mati otak.

Sambil menahan sebak, beliau memberitahu yang Nur Dinie dimasukkan ke ICU HSA sejak empat hari lalu, selepas kesihatannya merosot ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

“Nur Dinie sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menghidap sebarang penyakit, namun kesihatannya tiba-tiba merudum apabila mengalami demam minggu lalu.

“Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum disahkan dijangkiti Influenza A dan dirujuk ke sebuah hospital swasta.

“Keadaan Nur Dinie ketika dirawat di hospital swasta juga tidak menunjukkan perubahan di samping mengalami muntah darah menyebabkan dia dirujuk ke HSA sebelum dimasukkan ke dalam ICU bagi pemantauan pakar, ” katanya.

Pagi tadi, Jabatan Kesihatan Johor (JKJ) mengesahkan seorang murid Tahun Satu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini, dijangkiti Influenza A seperti ditularkan dalam media sosial.

Kisah Nur Dinie Damia yang didakwa kritikal dan sedang dirawat di ICU sebuah hospital kerajaan, di sini, sejak beberapa hari lalu tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu,Muhammad Nor Ain merayu masyarakat tidak menularkan berita palsu mengenai anaknya termasuk mengatakan Nur Dinie sudah meninggal dunia.

“Kami amat sedih dengan kelakuan tidak bertanggungjawab itu. Pakar HSA sedang bertungkus lumus memastikan keadaan anak saya pulih.

“Walaupun pakar HSA memaklumkan otak Nur Dinie didapati mati apabila melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), namun kami masih berharap kesihatannya kembali pulih, ” katanya.

BH

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!