#PrkKimanis : Jentera Perhebat Kempen, Aura Positif BN Pilihan Rakyat Kimanis

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Datuk Mohamad Alamin berkata, minggu terakhir berkempen di PRK ini dilihat semakin positif.

Namun jelas beliau, jentera tidak boleh terlebih yakin dan gerak kerja harus dipergiatkan agar ia mampu memberi kemenangan kepada BN.

“Saya dapat melihat sambutan yang diberikan semakin positif dan gerak kerja juga semakin baik tapi kita tidak boleh terlalu yakin maka kita harus perhebat kempen dan lebih fokus dalam mendekati pengundi.

“Saya sendiri semakin agresif mendekati pengundi dari rumah ke rumah. Bagi saya ini lebih memberi kesan kerana kita berjumpa pengundi secara terus,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ketika ditanya mengenai pengundi luar Mohamad yang lebih mesra disapa Tok Moh berkata, persiapan rapi telah pun dilakukan malah satu jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan.

“Kita telah membuat persiapan rapi dan jawatankuasa telah ditubuhkan sejak awal lagi bagi memastikan pengundi luar ini balik pada 18 Januari nanti.

“Kita juga sudah menghubungi pengundi luar bagi menyampaikan maklumat di mana mereka bakal membuang undi nanti,” katanya.

Untuk rekod, Tok Moh merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan dan merupakan anak tempatan kawasan terbabit.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker