#PrkKimanis : Kimanis tak semudah Sandakan buat PH, kata penganalisis

Kinabatangan MP Datuk Seri Bung Moktar Radin

Penganalisis politik meramalkan berlaku pertarungan sengit antara pembangkang dan kerajaan pimpinan Warisan pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, berbanding PRK Sandakan yang menyaksikan kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada Mei lalu.

Lee Kuok Tiung, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata walaupun sesetengah parti seperti PBS dan SAPP masih belum memutuskan untuk bertanding, namun perpaduan antara parti pembangkang di negeri itu dilihat meningkat.

“Selepas satu setengah tahun, rakyat dapat melihat prestasi kerajaan hari ini. Sesetengah mereka mungkin gembira, namun ada yang merasakannya lebih teruk.

“Agak mencabar untuk Warisan-PH-Upko menjanjikan kepada pengundi bahawa mereka akan atau boleh melakukan lebih baik. Ia akan menjadi tugas berat buat mereka untuk menang,” katanya kepada FMT.



Pada PRU14, Stephen Wong daripada DAP memenangi kerusi Sandakan dengan majoriti lebih 10,000 undi, namun beliau meninggal dunia pada 28 Mac lalu akibat serangan jantung.

Anak perempuan mendiang, Vivian Wong kemudian bertanding dalam PRK Parlimen itu dan memenanginya dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 11,521 undi.

Kerusi Kimanis dikosongkan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bahawa kemenangan Anifah Aman dalam PRU14 tidak sah.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengesahkan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan Kimanis, yang merupakan kubu kuat Umno, manakala Presiden Warisan Shafie Apdal membayangkan partinya akan bersaing untuk kerusi itu.



Menurut Lee, BN mempunyai peluang cerah berdasarkan kemenangan besar dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

“PRK Kimanis akan menjadi kayu pengukur sokongan pengundi terhadap Warisan dan PH di Sabah, dan di Malaysia Timur pada umumnya,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tony Paridi Bagang bersetuju PRK Kimanis akan memperlihatkan trend terkini sokongan pengundi kepada kerajaan negeri, namun keputusannya nanti tidak akan sama dengan apa yang berlaku dalam PRK Tanjung Piai.

“Dinamik politik di Semenanjung tidak sama (seperti di Sabah),” katanya.



Beliau bagaimanapun mengakui kemenangan BN dalam PRK baru-baru ini dapat meningkatkan semangat pengundi-pengundi di Sabah.

“Persoalannya, adakah BN Sabah sama seperti sebelumnya, kerana semua parti komponen tempatan meninggalkan gabungan itu selepas PRU14?”

Beliau berkata pihak yang bertanding berkemungkinan memainkan isu Perjanjian Malaysia 1963 dan royalti minyak.

“Tetapi pihak pembangkang mungkin mempunyai artileri tambahan kerana mereka boleh memanfaatkan isu Pas Sementara Sabah (PSS),” katanya, merujuk kepada dokumen yang akan dikeluarkan kepada warga asing mulai Jun depan.



Pilihan calon parti juga penting, katanya.

“Sekiranya terdapat pertarungan lebih daripada 2 pihak, kita akan dapat melihat perpecahan dalam kalangan pengundi Bumiputera Islam.

“Pengundi Bumiputera bukan Islam, khususnya Kadazandusun Murut, mungkin menterjemahkan undi mereka sebagai undi protes, memandangkan sentimen terhadap pendatang tanpa izin dan isu PSS,” ujarnya.

Sama ada Anifah akan mempertahankan kerusi yang didudukinya selama 3 penggal sejak 2004, adalah faktor lain untuk dipertimbangkan, katanya.



“Persoalan pertama ialah, adakah dia bertanding? Kedua, adakah dia akan bertanding sebagai bebas atau melalui salah satu parti pembangkang, sudah tentu selain daripada UMNO!”

FMT

#PrkKimanis : Apakah SPR Akan Diamkan Diri Terhadap Rasuah Politik Di PRK Kimanis?



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker