Tunggulah parti akan musnah, beri kesan kepada PKR negeri, pecat ahli lantang kritik pemimpin

Share


Pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid yang didakwa berniat jahat ekoran kelantangan pemimpin itu mengkritik segelintir pemimpin akan memberi kesan kepada parti khususnya PKR negeri.

Zakaria yang merupakan antara pemimpin awal PKR di negeri ini dilihat sebahagian ahli dan pemimpin akar umbi mempunyai pengaruh besar sekali gus pemecatan beliau akan memudaratkan PKR negeri.

Pengerusi Gabungan Ketua Cabang dan Persatuan Penggerak Muafakat Pahang, Albakri Salim yang juga Ketua PKR Cabang Paya Besar, berkata, pemecatan Zakaria bagi membunuh kerjaya politik beliau tidak dilakukan dengan adil dan di dakwa berniat jahat kerana kelantangan beliau mengkritik segelintir pemimpin.

“Kami beranggapan tindakan memecat terus tanpa dipanggil membela diri adalah berniat jahat ditunjangi perasaan benci dan dendam kesumat oleh segelintir pimpinan.

“Oleh itu kami beranggapan tindakan memecat beliau sebagai anggota parti adalah lebih mendatangkan mudarat kepada parti sedangkan beliau belum didapati bersalah kerana tiada tahanan dan pendakwaan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kini,”katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Persatuan Muafakat Pahang Temerloh, malam semalam.

Yang hadir sama, Ketua PKR Cabang Pekan, Jefri Jaafar; Ketua PKR Cabang Bentong, Dasimah Zainudin; Ketua Wanita PKR negeri, Sitarunisah Ab. Kadir dan Exco Angkatan Muda Keadilan, Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim serta wakil-wakil cabang PKR negeri.

Zakaria yang juga Ketua Cabang Bera bersama seorang lagi ahli parti PKR dipecat daripada parti itu berkuatkuasa kelmarin atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan mereka disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim hasil mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kelmarin.

Albakri yang juga Ketua Cabang Paya Besar berkata, tindakan yang dilihat tergesa-gesa dan melanggar prinsip keadilan itu amat mengelirukan menimbulkan keadaan tidak harmoni serta memudaratkan parti.

Justeru beliau berharap tindakan pemecatan itu ditarik balik malah Biro Disiplin PKR perlu melakukan permohonan secara terbuka bagi memperbetulkan keadaan.

Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Pekan, Jefri Jaafar berkata, tindakan pemecatan yang tidak mengikut peraturan itu merupakan satu budaya negatif yang akan memberikan kesan perpecahan dalam parti seterusnya memusnahkan parti itu.

Katanya, perkara ini amat mengecewakan kerana dalam usaha PKR mendukung prinsip keadilan, biro disiplin sendiri telah menyaalah guna kuasa dalam perkara ini.

“Kalau teguran ini juga tidak dapat diguna pakai atau dianggap teguran yang remeh temeh maka tunggulah parti akan musnah, ini yang kita bimbang ini yang kita hendak sedarkan pimpinan.

“Jangan leka dan terpedaya dengan nasihat yang tidak tentu hala, kembalikan pada prinsip dan kedudukan parti kalau hak kata hak kalau batil katakan batil,”ujarnya.

Suara Merdeka

(Visited 2 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *