Ini peluang bersihkan nama, kata Najib

Share


Najib Razak, menyifatkan keputusan hakim yang memerintahkan beliau membela diri adalah peluang untuk “membersihkan” namanya di mahkamah.

Dalam kenyataan umum dibuatnya di media sosial, anggota parlimen Pekan itu memberitahu dengan perintah tersebut pihaknya boleh memanggil saksi pembelaan.

Sebelum ini katanya hanya saksi pendakwaak dipanggil memberi keterangan di depan hakim.

“Inilah peluang untuk membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini mengarahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Kata Mohd Nazlan selepas menelitik hujah pendakwaan dan pembelaan, beliau mendapati wujudkan prima facie bagi kes Najib.

Menurut beliauy, Najib memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011.

Beliau juga mendapati bekas presiden Umno itu menggunakan dana sebanyak RM42 juta daripada SRC untuk kepentingan sendiri.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Terdahulu, ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu media pihaknya terkejut apabila diarah membela diri kerana yakin sudah berjaya mematahkan hujah pendakwaan.

Kata Najib, beliau memilih untuk membela diri melalui keterangan secara bersumpah.

Melalui pilihan itu, Najib terbuka untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan.

“Pilihan saya untuk membela diri ialah dengan memberi keterangan secara bersumpah di mana saya boleh disoal balas oleh pendakwa raya,” katanya.

Beliau yang turut dibicarakan untuk 25 pertuduhan membabitkan dana sebanyak RM2.28 bilion milik 1MDB di mahkamah lain berkata, selepas ini saksi pembelaan berpeluang memberi gambaran sebenar berhubung isu SRC tersebut.

“Sehingga kini, hanya saksi-saksi pendakwa raya dipanggil, dan kali ini saksi-saksi pembelaan akan diberi peluang untuk memberi gambaran sebenar dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya lagi.

MKINI



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *