Henti provokasi isu komik, Pemuda PPBM beritahu akar umbi DAP

Pemuda PPBM tampil mempertahankan larangan pengedaran komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” ke sekolah oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, mengatakan serangan segelintir pemimpin akar umbi DAP terhadap menteri kerajaan itu sebagai biadap.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata tindakan Maszlee menahan penyebaran komik kontroversi itu tindakan tepat.

“Pertamanya, komik itu tidak mengikuti saluran yang betul oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan penyebaran. Kedua, isi kandungannya bermasalah dan tidak sesuai disebarkan kepada sekolah-sekolah,” katanya kepada FMT.

Ulya berkata komik tersebut juga berbaur propaganda dari China yang mengagungkan negara tersebut, melakar persepsi tidak tepat mengenai masyarakat Melayu-Islam, dan tidak menjaga sensitiviti antara kaum.



Beliau juga mengingatkan penulis dan penerbit komik itu akan dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Buku itu juga telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tujuan promosi,” katanya.

Laman Malaysiakini melaporkan seramai 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa Adun parti itu, membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).



Pemuda PPBM hari ini secara rasmi mendesak pemimpin akar umbi DAP menghentikan provokasi.

“Pimpinan DAP menafikan penglibatan rasmi parti dalam isu buku ini, sekarang akar umbi keluarkan kenyataan biadap apabila kementerian menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Pemuda PPBM juga meminta DAP mendisiplinkan ahli-ahlinya yang menyerang menteri Pakatan Harapan.

“Disiplinkan mereka yang dikatakan ahli dan pimpinan akar umbi yang menyerang menteri-menteri sendiri,” katanya.



Dalam pada itu, Pemuda PPBM akan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap penulis dan penerbit komik itu.

“Tiada tempat untuk kebiadapan dan sikap pentingkan diri yang akan terus menganggu gugat keharmonian Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia umumnya,” kata Ulya.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker