MTUC dakwa Kula angkuh dan tindak macam militan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini membidas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran atas sikap “angkuh dan militan” beliau dalam urusan pindaan undang-undang buruh termasuk Akta Perhubungan Perusahaan yang diluluskan baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini susulan pendirian Kementerian Sumber Manusia semalam, MTUC mahu Kula dan pegawai-pegawai kanan kementeriannya berhenti dari mengeluarkan kenyataan separuh masak yang tidak menjawab tindakan unilateral mereka dalam membentangkan rang undang-undang di parlimen.

Kata MTUC, Kula telah mengambil pendekatan sombong dan bersifat militan dalam menangani aduan asas mereka kerana beliau enggan membenarkan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) membincang dan mencapai penyelesaian bersama mengenai pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan sebelum membentangkannya di parlimen minggu lalu.

“Ini janji beliau buat dalam salah satu mesyuarat NLAC, di mana beliau dengan jelas tidak tunaikan,” kata MTUC dalam kenyataan balas hari ini.

Kata MTUC, dakwaan Kula bahawa kementeriannya telah terlibat secara berkesan MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), dua komponen utama NLAC, adalah “palsu dan mengelirukan.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia menyangkal dakwaan MTUC dan MEF yang menggesa Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019 atas alasan tidak ada perbincangan dengan badan mewakili pekerja dan majikan itu.

Kata kementerian, dakwaan MTUC dan MEF yang pihaknya tidak mengadakan konsultasi dengan pemegang taruh dan tidak dipersetujui NLAC berhubung cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan adalah tidak berasas.

Menurut kementerian, Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 144 menggariskan keperluan untuk mengadakan konsultasi dengan wakil majikan dan pekerja bagi perkara berkaitan aktiviti-aktiviti ILO.

“Konvensyen ini hanya menekankan keperluan untuk mengadakan konsultasi dan bukannya mendapatkan persetujuan sebagaimana yang didakwa oleh MTUC dan MEF.

“Kementerian telah mengadakan sesi konsultasi bukan sahaja dengan MTUC dan MEF, malah dengan pemegang-pemegang taruh lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara yang tidak terhad kepada aktiviti-aktiviti ILO sahaja,” kata beliau.

Dengan mendakwa siri perbincangan dengan MTUC dan MEF telah diadakan sejak tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia meminta kedua-dua badan itu memberitahu kepada rakyat Malaysia peruntukan mana dalam Rang Undang-undang Perhubungan Perusahaan yang dipersetujui atau tidak dipersetujui dan juga alasannya.

“Kementerian berharap dengan penjelasan ini akan menghentikan segala dakwaan tidak berasas oleh MTUC dan MEF bahawa pindaan kepada akta ini memerlukan persetujuan mereka terlebih dahulu.

“Hanya konsultasi sahaja diperlukan sebagaimana yang telah dijelaskan. RUU ini boleh diperoleh di laman web Parlimen dan semua pihak disarankan untuk membaca dan memahami kandungan pindaan tersebut,” kata kementerian lagi.

Menteri gagal jawab

Dalam kenyataan hari ini, MTUC juga mendakwa sehingga ke hari ini, menteri sumber manusia masih gagal menjawab soalan mudah pihkanya iaitu “berapa banyak mesyuarat NLAC yang dipengerusikan oleh beliau atau pegawainya telah membincangkan cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Kesatuan Sekerja atau Akta Kerja.”

“Kula Segaran telah membuat kenyataan mengelirukan tetapi tidak memberi respons kepada cabaran kami agar mendedahkan minit mesyuarat NLAC kepada umum,” katanya.

Kata MTUC, dengan membolehkan orang ramai melihat kandungan minit mesyuarat atau sekurang-kurangnya menyediakan akses kepada media, orang ramai dengan mudah boleh menilai jika benar konsultasi yang berkesan dan bermakna telah diadakan mengikut Konvensyen ILO C144, yang kementerian itu telah merujuk.

Kata kenyataan itu lagi, pendirian MTUC adalah NLAC tidak pernah digunakan sebagai forum perundingan berkesan mengenai pembaharuan undang-undang buruh sebagaimana dimaksudkan dalam C144.

“Kami juga berpendirian menteri telah melemahkan NLAC dan secara unilateral menyerahkan set undang-undang yang buruk kepada parlimen untuk kelulusan pada 9 Okt lalu.”

Kata MTUC, adalah menyedihkan apabila mendakwa beberapa individu dan organisasi mengalu-alukan pindaan itu sebagai satu “game changer”, kementerian hanya boleh menyebut dua individu untuk menyokong pindaan tersebut.

“MTUC, sememangnya mempunyai pendirian sendiri terhadap kualiti sokongan yang pantas tetapi itu harus ditangani pada satu masa lain.

“Cukuplah untuk mengatakan, kepada MTUC, yang mewakili 15 juta pekerja, dan MEF sebagai dua komponen utama NLAC, pindaan itu tidak mencerminkan hasrat atau aspirasi ahli dan ahli gabungan masing-masing.

“MTUC sedang menyusun senarai terperinci mengenai bantahan terhadap pindaan yang akan dibawa kepada umum.

“Buat masa ini, perlu dikatakan bahawa beberapa pindaan dibuat bertentangan secara langsung dengan peruntukan undang-undang buruh yang lain dan piawaian buruh antarabangsa,” katanya.

Malah kata MTUC, beberapa pindaan juga akan membawa kepada ketidakharmonian di kalangan kesatuan dan menyebabkan persekitaran tidak sihat di syarikat-syarikat yang akan mengetepikan hak pekerja untuk meneruskan perjanjian kolektif dengan majikan dengan berkesan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker