Yan Ke lebih teruk dari biadap tapi pedajal – Kok Seong

Sokongan ‘luar biasa’ yang diterima oleh Wong Yan Ke yang melakukan protes semasa majlis Konvokesyen Universiti Malaysia (UM) baru-baru ini sebenarnya sudah menjawab persoalan siapa dalang di sebalik kejadian itu.

Ini kerana, secara logik akal, seseorang graduan tidak akan berkelakuan tidak senonoh pada acara rasmi universiti kerana ia bukan hanya menjejaskan majlis tetapi memberi kesan kepada masa depannya sendiri.

Oleh sebab itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yakin graduan yang waras dan rasional tidak akan berani melanggar istiadat majlis konvokesyen tersebut kecuali dia gila.

Menyifatkan tindakan Yan Ke itu sebagai pedajal (individu menyusahkan orang dalam bahasa utara), Kok Seong berkata, melihat sokongan yang diberikan kepada Yan Ke, tidak mustahil graduan itu ditaja oleh pihak-pihak tertentu.



“Kelakuan graduan itu nampak tersirat tetapi apabila sudah ada yang menyokong, tindak-tanduk itu sudah tersurat nampaknya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sehubungan itu, beliau mahu siasatan ke atas graduan itu wajar diteruskan supaya kejadian seumpama itu tidak patut berulang pada masa depan.

Ini kerana, apabila ada pihak dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang memihak kepada kelakuan Yan Ke, ia seolah-olah menunjukkan ada dalam kalangan parti kerajaan cuba ‘bunuh’ pihak yang lain sekali gus menyaksikan kerajaan kini berdepan dengan isu moraliti.

Malaysia pada hari ini semakin jelas menyaksikan kegagalan dalam pembentukan negara bangsa apabila ada dalam kalangan rakyatnya yang melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara secara terangan-terangan tanpa rasa malu.



Dalam kes graduan ini, Yan Ke secara jelas melanggar prinsip kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan sedangkan dalam sebuah negara yang demokrasi, terlalu banyak saluran untuk bersuara dan menyatakan bantahan.

“Tetapi bagi saya, kejadian ini tidak pelik sebab kerajaan sekarang mengamalkan liberalisme, menggalakkan kebebasan bersuara, reformasi. Sedangkan masyarakat belum matang, sebab itu berlakunya salah guna kebebasan yang diberikan,” ujarnya.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik dalang di sebalik kejadian yang mencemarkan nama baik Universiti Malaya, Kok Seong percaya ia bukan perbuatan bukan orang Melayu.

“Ini bukan cara orang Melayu. Orang Melayu ini, sejahat-jahat mereka pun ada batas. Mereka masih tahu adab. Yang ini aibkan orang tidak kira batas.



“Sebab itu saya sifatkan tindakan graduan itu bukan biadap, tetapi pedajal. Lebih teruk dari biadap,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker