Timbalan menteri di JPM Md Farid meninggal dunia

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Maklumat yang diperoleh dari Facebook Allahyarham sekitar 8.50 pagi tadi menyebut ahli Parlimen Tanjung Piai itu baru “sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Pontian subuh tadi. Kemungkinan besar serangan jantung.”

Dalam pada itu, maklumat disebarkan melalui grup WhatsApp berkata, “diberitakan YB Datuk Wira Dr Farid Md Rafik telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 6 pagi tadi.”

“Jenazahnya kini berada di Hosital Pontian. Jenazah dijangka akan dibawa pulang ke rumah bondanya di Serkat Pontian untuk disempurnakan mandi, dikafan dan pengkebumiannya.”



Dalam pada itu Bernama melaporkan pemergian Md Farid disahkan oleh Setiausaha PPBM Johor Mohd Solihan Badri.

“Beliau yang dimasukkan ke hospital pagi tadi, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” kata beliau ketika dihubungi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan dan dijangka dikebumikan sebelum Zohor, kata Mohd Solihan.

Md Farid merupakan Naib Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai.



Md Farid, lulusan perubatan, merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan social dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memenangi kawasan Tanjung Piai, Johor dengan menewaskan penyandangnya, Wee Jeck Seng (Barisan Nasional) dan Nordin Othman (PAS) pada pilihan raya umum tahun lalu. Md Farid memperoleh 21,255 undi, Wee (20,731) dan Nordin (2,962).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker