Polis tak benarkan Dr. Zakir ceramah di Terengganu

Polis Terengganu mengambil pendirian untuk tidak membenarkan pendakwah tersohor, Dr. Zakir Naik mengadakan ceramah di negeri ini atas faktor keselamatan, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Bagi tujuan itu, Aidi berkata, beliau akan menasihatkan kerajaan negeri supaya jangan memberi kebenaran kepada Dr. Zakir berkunjung ke negeri untuk berceramah bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan sama ada daripada Dr. Zakir sendiri atau mana-mana ejen pendakwah berkenaan untuk mengadakan ceramah di Terengganu.

“Setakat ini memang tak ada permohonan daripada Dr. Zakir atau ejen dia untuk datang mengadakan ceramah di Terengganu. Kalau ada, saya akan nasihatkan kerajaan negeri (batalkan ceramah).



“Ia tak sesuai datang ceramah kerana isu-isu yang timbul sekarang. Jadi, saya nasihatkan kerajaan negeri supaya penganjur yang nak anjurkan ceramah (Dr. Zakir) agar batalkanlah untuk sementara ini. Saya tak ingin berlaku perkara tidak diingini di Terengganu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Marang di Dewan Sri Kapas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Aidi diminta mengulas adakah polis Terengganu bersedia mengizinkan Dr. Zakir datang ke negeri ini untuk mengadakan ceramahnya meskipun pendakwah terkenal itu kini berdepan bantahan dan kecaman pelbagai mengenai kedudukan serta statusnya di negara ini termasuk desakan agar beliau dihantar pulang ke India.

Beliau seterusnya berkata, keputusan tidak membenarkan Dr. Zakir berceramah di Terengganu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi semasa yang penuh kontroversi berkaitan pendakwah tersebut.



“Kita tak mahu timbul perkara (masalah) selepas ini terutama dalam keadaan sekarang yang penuh kontroversi. Kalau kerajaan negeri izinkan juga, saya akan nasihatkan kerajaan negeri agar tangguh atau batalkannya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker