Pencemaran terbaharu Pasir Gudang : Lebih 100 kampit sisa industri termasuk bahan toksik ditemukan

Lebih seratus kampit mengandungi sisa buangan kilang termasuk dipercayai bahan toksik ditemukan di satu laluan tikus berhampiran Sungai Daing di Kampung Perigi Acheh di sini kelmarin.

Penemuan bahan buangan itu mengakibatkan pencemaran terbaharu sekali gus membimbangkan 532 penduduk kampung tersebut kerana menghasilkan bau busuk selain air sungai bertukar menjadi kotor, keruh dan hitam.

Menurut Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon, bahan buangan terbaharu itu dilonggokan di laluan tikus ke Sungai Daing dalam kampit yang berbagai saiz termasuk dalam botol.

“Mereka membuang sisa kilang tersebut di satu daripada dua laluan tikus di kampung ini dan laluan itu berakhir di Sungai Daing sebelum airnya mengalir masuk ke Sungai Kopok.

“Keadaan ini menjadikan air sungai menjadi busuk dan warnanya hitam pekat. Siasatan perlu dilakukan kerana terdapat kira-kira 20 kilang dengan jarak begitu hampir dengan kampung ini,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, sebentar tadi.

Kelmarin Utusan Malaysia mendedahkan terdapat pencemaran baharu di daerah ini dengan penemuan beberapa bahan buangan dipercayai toksik dikesan.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tam Cheng Choon dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS) dan Jabatan Perikanan Johor turun meninjau dan mengambil sampel air sungai berkenaan untuk dibuat kajian serta siasatan.

Othman mendakwa, terdapat empat nama kilang pada kampit dan botol yang ditemukan itu dan susulan itu dua laporan dibuat di Balai Polis Pasir Putih kelmarin dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pagi ini.

Jelasnya, laporan tersebut menggesa polis dan pihak berkaitan melakukan siasatan kerana sehingga kini bahan-bahan buangan berkenaan masih dibiarkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pencemaran di kampung tersebut sebenarnya sudah berlarutan sejak sekian lama tetapi sejak April lalu hingga kini keadaan bertambah teruk terutama dengan penemuan terbaharu itu.

Beliau yang juga Ketua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perigi Acheh mahukan tindakan segera dilakukan bagi memulihkan sungai berkenaan termasuk mendakwa pihak yang membuang sisa industri sesuka hati. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker