MySalam skim cepat kaya luar biasa

 

Oleh AB JALIL BACKER

KENYATAAN Kementerian Kewangan bahawa Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak termasuk syarikat insurans swasta Great Eastern Holdings (GEH) adalah mengelirukan dan memperlekehkan pemikiran rakyat.

Skim Mysalam yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan kerjasama GEH akan melindungi kira-kira 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup.

Dalam pelancaran MySalam pada Januari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan Great Eastern akan memperuntukkan dana sebanyak RM2 bilion sebagai permulaan skim tersebut selama lima tahun.

Tampak seolah-olah benar GEH tidak menerima apa-apa keuntungan. Namun realitinya, melalui kerjasama ini GEH telah diberi pengecualian daripada memenuhi syarat Bank Negara Malaysia supaya setiap syarikat insurans di Malaysia mesti memenuhi minimum 30 peratus ekuiti milik tempatan.

Apakah ini bukan satu keuntungan besar kepada GEH? Lebih mengejutkan kita ialah pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Jeyakumar Devaraj bahawa untuk menjayakan skim itu kerajaan membayar premium RM400 juta setahun kepada GEH.

Jadi rakyat telah ditipu bahawa dana RM2 bilion selama lima tahun tersebut adalah sumbangan GEH. Budak-budak sekolah pun tahu RM400 juta didarab dengan lima tahun akan mendapat jumlah RM2 bilion.

Dengan kata lain, dana RM2 bilion itu bukan atas risiko GEH. Ia dijamin sepenuhnya kerajaan melalui pembayaran premium RM400 juta setahun. Jika ini ditawarkan kepada mana-mana syarikat insurans pun mereka akan merebut tanpa perlu diberi pelepasan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti tempatan.

Kementerian Kewangan dalam mempertahankan diri menyatakan semua premium yang dibayar kerajaan jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat akan dibayar balik kepada Tabung Amanah MySalam.

Guan Eng pula dengan penuh bangga menyatakan “tiada unsur keuntungan bagi Great Eastern Holdings mahupun Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melalui skim mySalam.”

Mungkin sebagai pelajar jurusan perakaunan Guan Eng tidak memahami kuasa wang tunai dalam perniagaan dan ekonomi. Beliau hanya melihat wang keluar masuk, bukannya nilai yang boleh dijana oleh wang tersebut.

RM400 juta adalah satu jumlah wang tunai yang sangat besar dalam perniagaan. Bermacam keuntungan boleh dijana sepanjang setahun dengan jumlah tersebut. Aneh sekali kerajaan memilih memberi kemudahan tunai sebesar itu kepada sebuah syarikat dari Singapura.

Meletakkan RM400 juta dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit) sahaja akan menghasilkan pulangan sekitar RM12-RM16 juta setahun. Ini keuntungan biasa simpanan tetap bagi kadar faedah antara tiga peratus hingga empat peratus setahun.

Jika anda membuka akaun simpanan tetap dengan tunai RM400 juta, anda boleh berunding dengan bank untuk mendapat kadar faedah yang lebih tinggi.

Menurut Dr Jeyakumar, Mysalam dianggarkan membayar tidak sampai RM3 juta untuk tahun ini. Dalam masa yang sama GEH boleh terus menikmati faedah sekitar RM12 juta daripada simpanan tetap RM400 juta.

Maklumat yang ada menampakkan kewujudan MySalam hanya menguntungkan GEH, bukannya rakyat mahupun kerajaan.Rakyat biasa membeli insurans sebagai langkah kecemasan jika tidak mampu membayar bil perubatan atau berlaku kematian.

Ini kerana kita tidak ada tunai yang banyak atau memikirkan keuntungan daripada pelaburan dalam sesetengah jenis insurans.

Sebaliknya, kerajaan mempunyai kemampuan kewangan menanggung pembayaran skim tersebut tanpa perlu membayar mana-mana syarikat insurans. Malahan jika diteliti perjalanan skim ini ternyata syarikat insurans terbabit langsung tidak mempunyai risiko tuntutan melebihi premium.

Justeru, adalah wajar kerajaan menamatkan sahaja insurans MySalam dan membayar sendiri faedah-faedah yang dijanjikan oleh skim ini.

Adalah sangat misteri bagaimana seorang Menteri Kewangan boleh menjadi sebegitu naif dan gagal memahami konsep mudah dalam perniagaan sehingga mewujudkan skim cepat kaya kepada syarikat GEH.

Apakah ini rancangan membalas budi korporat tertentu atas sumbangan semasa pilihan raya atau ada perkara di belakang tabir yang tidak diketahui rakyat?

Bak kata pepatah Melayu, ‘jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.’

Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Sinar

MySalam: MoF perlu lebih telus

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker