Pelabur asing dijangka terus jual saham tempatan

Jualan asing ekuiti Malaysia dijangka berterusan dalam masa terdekat, dengan sentimen lemah didorong oleh pasaran luaran.

Pada minggu 13 hingga 15 Ogos yang singkat, jualan asing ekuiti tempatan dicatatkan sebanyak RM480.1 juta berbanding RM1.04 bilion dilaporkan dari 5 hingga 9 Ogos.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata selama lima minggu berturut-turut, dana asing mencatatkan jualan bersih berikutan persekitaran luaran yang tidak stabil, terutama didorong oleh konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selain itu, katanya dasar perdagangan perlindungan yang meningkat antara Jepun dan Korea Selatan seolah-olah turut mencadangkan pertumbuhan global yang mungkin tidak menggalakkan pada masa depan.

Beliau berkata, penangguhan untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import China yang bernilai AS$300 bilion seperti diumumkan oleh Wakil Perdagangan AS memberi kelegaan dan harapan bahawa kedua-dua negara masih terbuka kepada penyelesaian yang baik.

“Bagaimanapun, keluk hasil di AS dan United Kingdom yang tidak menentu telah menarik perhatian pasaran, menyebabkan pengelakan risiko menjadi lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, AS mengumumkan negara itu akan menangguhkan untuk mengenakan tarif import sebanyak 10 peratus ke atas komputer riba, telefon bimbit, konsol permainan video dan produk lain yang dibuat di China yang pada mulanya dijadualkan bermula bulan depan.

Di peringkat tempatan, Mohd Afzanizam berkata sokongan daripada dana institusi dan pada tahap tertentu, daripada pelabur runcit, akan membantu mengurangkan penurunan dalam FBM KLCI.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI merosot 15.83 mata kepada 1,599.22 daripada 1,615.05 minggu sebelumnya.

“Oleh itu, ekuiti akan terus tidak menentu berikutan konflik perdagangan antara AS dan China yang masih wujud. Ia boleh memberi kesan kepada sentimen pasaran.

“Dalam tempoh tidak menentu, pasaran pendapatan tetap boleh menawarkan perlindungan yang lebih baik dan justeru, peruntukan aset akan tertumpu kepada pasaran bon. Menjangka dagangan yang amat berhati-hati dalam kalangan pelabur,” kata Mohd Afzanizam.

Semasa mengumumkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua pada Jumaat, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertikaian perdagangan AS-China yang berlanjutan dijangka memberi kesan terhadap asas pertumbuhan eksport kasar Malaysia 2019 sebanyak -0.5 hingga -0.8 mata peratusan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2019, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang lebih tinggi.

Sebagai perbandingan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

Bagi 2019, bank pusat menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam julat antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus, disokong oleh aktiviti sektor swasta.

Mohd Afzanizam berkata pada tahap tertentu, pertumbuhan ekonomi suku kedua 2019 yang lebih kukuh itu akan mengurangkan kebimbangan mengenai ekonomi perlahan dan menyediakan pemangkin kepada pasaran ekuiti.

“Bagaimanapun, pecahan KDNK menunjukkan pelaburan perniagaan kurang menggalakkan berikutan kerajaan amat berhati-hati dalam perbelanjaan mereka. Pertumbuhan eksport bersih lebih tinggi tetapi ini berikutan import yang rendah.

“Oleh itu, sektor luaran tidak begitu membantu. Oleh yang demikian, kes untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah masih sah tetapi BNM boleh tunggu,” katanya.

Pada Mei, bank pusat menurunkan OPR kepada 3.0 peratus, penurunan kadar pertamanya sejak Julai 2016.

Sementara itu, bank pusat turut mengumumkan langkah-langkah liberalisasi selanjutnya dalam dasar pentadbiran pertukaran asing (FEA) berkuat kuasa 30 Ogos untuk memberikan fleksibiliti yang lebih besar dan meningkatkan tahap kecekapan sektor perniagaan dalam menguruskan risiko pertukaran asing dan menjalankan operasi harian mereka dengan lebih baik.

Dengan liberalisasi, pemastautin kini boleh melindung nilai obligasi akaun semasa mata wang asing mereka sehingga tempoh asas, dengan mendapat kelulusan daripada BNM.

-BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker