Azmin tidak hadir mesyuarat PKR Pusat pula.

Share


Azmin tak hadir lagi: Pemimpin PKR diingatkan utamakan mesyuarat parti

Semua pemimpin PKR sudah diingatkan untuk mengutamakan kehadiran dalam mesyuarat parti berbanding perkara lain, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan yang berlangsung hari ini di ibu pejabat PKR.

Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.

“Pada waktu ini MPP telah diingatkan oleh setiausaha agung dalam mesyuarat pada hari ini bahawa jadual untuk mesyuarat-mesyuarat termasuk mesyuarat MPP biro politik telah diedarkan awal.

“Jadi kita tahu untuk dua, tiga bulan ke hadapan inilah tarikh-tarikhnya. Pimpinan telah diingatkan untuk menghadirkan diri dan memberikan keutamaan kepada mesyuarat ini supaya kita boleh (bergerak) sebagai satu parti menyelaraskan keputusan yang diambil.

“Peringatan itu telah dikeluarkan kepada semua pimpinan,” kata Fahmi.

Fahmi bagaimanapun menyerahkan kepada biro politik PKR untuk memutuskan sama ada akan mengambil tindakan ke atas Azmin.

Pemimpin PKR lain yang tidak hadir hari ini termasuklah naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kesemua mereka dilihat sebagai penyokong kem Azmin.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dilihat meninggalkan ibu pejabat parti itu ketika sidang akhbar sedang berlangsung.

Fahmi sebelum itu menjelaskan bahawa ramai pemimpin telah beredar selepas mesyuarat hari ini kerana mereka harus ke Sarawak bagi menghadiri majlis kerajaan PH.

PKR dilihat bergelut konflik dalaman susulan klip video seks yang dikaitkan dengan timbalan presidennya.

Pergeseran memuncak selepas Anwar bersetuju bahawa Azmin yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi perlu meletakkan jawatan sekiranya klip video seks itu tulen.

Susulan itu, Azmin membalas kenyataan Anwar dengan menyarankan presiden PKR itu “melihat cermin”.

Azmin juga sebelum ini menafikan dakwaan terlibat dalam klip video itu dan menyifatkan ia percubaan “orang dalam” memusnahkan kerjaya politiknya.

Siasatan polis setakat ini sudah mengesahkan ketulenan klip video, namun hasil pengecaman wajah dikatakan negatif dan tidak dapat dikaitkan dengan Azmin.

Setiausaha politik Anwar merupakan antara yang ditahan dalam siasatan polis berhubung kes itu. Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *