Zahid cabar Mat Sabu nafi DAP biayai Amanah

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dicabar untuk menafikan bahawa punca kewangan parti tersebut sebenarnya adalah dibiayai oleh DAP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penafian itu perlu dilakukan bagi menepis dakwaan tentang pembabitan DAP pada awal penubuhan Amanah.

“Saya buat cabaran terbuka terhadap Mat Sabu untuk menafikan siapa yang membiayai Amanah hingga sekarang? Sila nafikan bahawa Amanah telah dibiayai oleh DAP dari segi kewangan.

“Jangan menuduh Pas terima dana sebanyak RM90 juta daripada UMNO. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bawa kes itu ke mahkamah di London dan tiada bukti mahupun saksi mereka menerima dana kononnya melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, perpecahan di dalam Pas berlaku lebih awal daripada UMNO ekoran perancangan oleh DAP untuk menarik 10 peratus sokongan orang Melayu.

“Sebab apa DAP ini beritahu kalau mahu jadi Perdana Menteri semula, Pakatan Harapan mahu menang, buat dua perkara iaitu ambil 10 peratus orang Melayu dari UMNO dan Pas.

“Itu perancangan halus DAP yang akhirnya mereka menang. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diwujudkan atas cadangan DAP, Amanah juga diwujudkan atas cadangan mereka,” katanya.



Tambah beliau, meskipun PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan berjaya membentuk kerajaan namun ia adalah sebuah kerajaan boneka DAP.

“Kita menentang DAP bukan kerana namanya DAP tetapi kerana mereka mahu memecahkan orang Melayu. Perpecahan orang Melayu pada PRU-14 menyebabkan orang Melayu hilang kuasa.

“Benar Perdana Menteri adalah orang Malayu tetapi kerajaan yang ada adalah kerajaan boneka DAP,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker